Adikomputer dibangunkan pada dekad 60an bagi melakukan perkiraan rumit yang tidak mampu dilakukan oleh komputer biasa. Pembangunan adikomputer dengan kelajuan exaflop kini sedang dilakukan oleh Intel dengan sasaran ia beroperasi pada tahun 2021. Tetapi Toshiba telah mengumumkan telah berjaya menghasilkan algoritma yang membolehkan perkiraan yang rumit yang memerlukan adikompiter dilakukan pada komputer desktop biasa.
Algoritma yang diberi nama Simulated Bifurcation Algorithm (SBA) ini mampu melakukan perkiraan kompleks dengan 2,000 pembolehubah dilakukan dalam masa 50 ms. Ini adalah 10 kali ganda lebih pantas berbanding yang boleh dilakukan oleh komputer kuantum berasaskan laser.
SBA dibangunkan oleh Hayato Goto, seorang penyelidik di Toshiba sejak 2015 bagi membolehkan perkiraan kompleks dilakukan pada komputer desktop biasa. Kerana ia boleh skala (scalable), SBA turut boleh digunakan pada FPGA dan juga CPU di dalam kluster. Toshiba percaya SBA mempunyai potensi dalam sektor perdagangan mata wang, mengira jarak terpendek untuk perkhidmatan penghantaran bungkusan dan industri perubatan.