Carian
Apple Membatalkan Rancangan Menyulitkan Sandaran iCloud Kerana Campur Tangan FBI
January 22, 2020 Effi Saharudin

Privasi pengguna kerap dicanang oleh Apple pada setiap produk yang dijual. Malahan ia dijadikan alasan oleh peminat mengapa mereka terus menggunakan produk Apple. Menurut laporan Reuters, Apple telah membatalkan rancangan menyulitkan sandaran pada iCloud selepas menerima tekanan dari pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Apple dipercayai merancang menyulitkan sandaran iOS pada iCloud pada tahun 2018. Namun ia dihentikan selepas menerima bantahan dari pihak FBI kerana boleh menyukarkan proses siasatan jenayah suspek yang menggunakan iOS. Menurut beberapa sumber Reuters, oleh sebab ini Apple telah membatalkan rancangan mereka.

Keputusan ini mungkin turut diambil selepas Apple menerima kritikan hebat kerana enggan menyahkunci iPhone yang dimiliki oleh pengganas yang melakukan serangan di San Bernadino pada tahun 2015. Pihak berkuasa dipercayai hanya dapat mengakses kandungan peranti selepas menerima bantuan penggodam.

Tidak seperti Apple, Google melakukan penyulitan pada sandaran data aplikasi yang dimuat naik ke Google Drive. Namun begitu selain data ini, tidak sistem penyulitan digunakan bagi memastikan data pengguna benar-benar selamat.

Komen