Cari @ Amanz

Fujifilm X-T200 telah dilancarkan hari ini sebagai kamera APS-C nircermin kelas permulaan gantian kepada X-T100 yang dilancarkan dua tahun yang lalu. X-T200 membawakan beberapa penambahbaikan dari segi kepantasan mengambil gambar, pemfokusan dan kemampuan rakaman video.

Sensor 24.24-Megapixel CMOS APS-C yang membolehkan rakaman foto sehingga 8 bingkai sesaat dan video 4K 30FPS. Pada model terdahulu, rakaman 4K 15FPS sahaja dapat dilakukan. Terdapat juga sokongan format rakaman FHD 120FPS bagi mendapatkan video gerak perlahan. Sistem pemfokusan kini lebih pantas lengkap dengan sistem Eye-AF yang mengesan wajah subjek yang ingin diambil. Sensor yang digunakan adalah sama seperti yang digunakan pada Fujifilm X-A7 pada bulan September lalu.

Sebuah skrin sesentuh 3.5″ (16:9) diletakkan pada bahagian hadapan yang boleh diputar ke hadapan untuk rakaman swafoto serta swavideo. Bagi membolehkan video diambil lebih stabil, mod Digital Gimbal disertakan. Kamera boleh dicas menggunakan port USB-C yang merangkap port pemindahan data. Port ini juga boleh digunakan sebagai port fon kepala menggunakan penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5mm yang disertakan dengan pembelian. Terdapat port mikrofon 3.5mm bagi mereka yang merakam video dengan aksesori luaran.

Seperti kamera Fujifilm lain di pasaran, pratetapan yang melakukan simulasi filem analog Fujifilm disertakan seperti Velvia dan PROVIA. Kesemua ini dimasukkan ke dalam tubuh kamera yang hanya sebesar 370 gram. Fujifilm X-T200 akan dijual pada penghujung Februari pada harga $700 (~RM2849) untuk tubuh sahaja atau $800 (~RM3256) dengan lensa power zoom XC 15-45mm f/3.5-5.6 OIS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd