Cari @ Amanz

Pasti antara pembaca Amanz ada pemain permainan video yang memfokuskan penggunaan komputer riba gaming sahaja. Adakah anda jadikan komputer riba tersebut sebagai komputer bermain harian atau untuk di bawa ke mana-mana sahaja? Jika anda jenis yang kerap membawa komputer riba gaming pergi ke sana dan ke sini, sedar atau tidak yang pengecas yang disediakan adalah berat, tebal dan besar? Jika anda sedar, itu bermakna sudah tiba masanya untuk anda mencari pengganti. Innergie 180G (Gaming Power Adapter 180W) adalah pengecas yang sesuai. Kenapa? teruskan baca artikel ini untuk ketahui kenapa ia sesuai untuk anda, wahai para gamer sekalian.

Rekaan

 Innergie PowerGear 60C
Input AC 100-240V / 2.3A 50-60 Hz
Output Kuasa Maksimum 180W
Jenis Muncung  A, D1, F, F1, X
Perlindungan InnerShield, Bahan Binaan GreenSense
Dimensi 152 x 72.5 x 22.5 mm
Berat 415 Gram
Kepala Pengecas  3-pin Eropah (MY)
Harga RM 239

Kelebihan Innergie 180G terletak pada rekaannya yang amat nipis dengan dimensi hanya 152mm x 72.5mm x 2.5mm sahaja. Ini adalah lebih nipis berbanding dengan kebanyakan pengecas komputer riba gaming yang berada di pasaran. Berat pula hanya 415 gram, yang mana pada kami agak ringan.

Untuk kepala soket pula, ia menggunakan soket 3-pin yang mana sesuai digunakan di Malaysia. Sedikit mengecewakan yang Innergie tidak sertakan tiga kepala soket berbeza seperti PowerGear 60C yang benar-benar sesuai untuk di bawa merantau. Akan tetapi, terdapat lima muncung pengecas yang disediakan. Antaranya adalah muncung A, D1, F, F1 dan X. Setiap muncung-muncung ini sesuai digunakan pada komputer riba Acer, Asus, Alienware, Dell, HP, Lenovo, MSI dan Razer. Hanya untuk Asus sahaja, ia menyokong A dan X mengikut model komputer riba.

Kabel AC yang disertakan adalah sepanjang 1 meter dan kabel terbina pada penyesuai pula adalah 1.8 meter. Kabel adalah dari jenis saduran penebat plastik yang berwarna hitam. Syukur, warnanya seragam antara kabel dan penyesuai. Jadi tidak akan menjadi masalah bagi yang gemarkan keseragaman.

Gambar di bawah menunjukkan perbezaan saiz pengecas Innergie 180G jika dibandingkan dengan pengecas 280W Asus Mothership. Boleh dikatakan separuh saiz pengecas Asus Mothership adalah saiz Innergie 180G. Kemudian di tangan beratnya boleh dikatakan mempunyai beza sekitar tiga kali.

Pengecasan Dan Penggunaan

Innergie 180G mempunyai kuasa 180W sahaja. Jadi secara teori, ia menyokong pengecasan pantas. Namun, kebanyakan komputer riba gaming sekarang sudah menyokong lebih dari 200W. Contoh Asus ROG Zephyrus M yang saya gunakan sekarang memerlukan kuasa 230W. Secara tidak langsung, Innergie 180W tidak boleh digunakan untuk pengecasan pantas. Akan tetapi, jika menggunakan pengecas Innergie ini pada komputer riba gaming kelas pertengahan – amat sesuai.

Masa pengecasan saya pada Asus ROG Zephyrus M adalah menghampiri tiga jam. Jika menggunakan pengecas yang disertakan Asus, ia adalah jauh lebih pantas. Namun, kelebihannya adalah ia kompak, nipis dan ringan. Jadi mudah sahaja untuk disumbat dalam beg atau disimpan.

Syukur, tiada komputer riba gaming menggunakan pengecas khusus tersendiri atau sistem pengecasan tersendiri yang pelik-pelik. Dengan lima muncung pengecas disertakan, hampir kesemua komputer riba gaming berada di Malaysia boleh mengggunakan Innergie 180G.

Jika anda memiliki komputer riba yang ada dua port pengecasan, seperti USB-C dan port A,X, D1, F atau lain-lain – tidak ada masalah juga untuk menggunakan Innergie 180G. Ini kerana, kadangkala port USB-C Power Delivery mempunyai kuasa yang perlahan. Lebih-lebih lagi komputer riba gaming.

Perlu diingatkan, jika anda menggunakan Asus Mothership – Innergie 180G mungkin tidak sesuai. Ini kerana Mothership menggunakan dua pengecas 280W, iaitu 560W secara  jumlahnya. Tiada jaminan jika dua Innergie 180G boleh membantu mengecas Mothership. Jika boleh pun, kesihatan bateri mungkin tidak akan terjamin.

Dua perkara menarik lain yang terdapat pada Innergie 180G adalah bahan binaan yang tahan lasak. Jadi jika terjatuh, pengecas tidak akan mudah rosak. Pengecas yang kompak ini juga memuatkan cip keselamatan tersendiri InnergieSafe. Cip ini akan membantu mengelak aliran kuasa terlebih, litar pintas, masalah memanas atau banyak lagi masalah lain ketika komputer riba sedang dicas dapat dielakkan.

Kesimpulan

Tetapi persoalan yang pastinya ada di kalangan pembaca Amanz ialah adakah ia mampu benar-benar boleh berfungsi sebagai pengecas alternatif yang menjimatkan ruang di dalam beg galas.

Jawapan saya dari pengalaman penggunaan selama beberapa bulan ialah ya. Pertama sekali dengan rekaan yang nipis, tidak lagi mengkembungkan beg dan dengan berat hanya 415 gram – beg atau bagasi tidak lagi menjadi begitu berat.

Saiznya memang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan pengecas komputer riba gaming lain yang saya gunakan sekarang. Penjimatan ruang di dalam beg adalah amat ketara sekali. Tetapi harus kami nyatakan kami adalah sebilangan kecil individu yang mempunyai pelbagai peranti di dalam satu beg. Jadi, masih perlu membawa pengecas lain bersama-sama dengan Innergie 180G ini.

Adalah lebih baik jika pengecas ini benar-benar bersifat universal, dengan sokongan Power Delivery PPS. Jadi tidak kira berapa ratus kuasanya, ia boleh mengecas pelbagai peranti tanpa sebarang isu. Jika ingin jadikan sesebuah pengecas ini lebih mudah digunakan, sertakan sekali sekurang-kurangnya satu port USB-A untuk memudahkan penggunaan kabel pengecasan lain.

Seperti yang dikatakan dalam perenggan sebelum ini, Innergie 180G ini tidak sesuai untuk komputer riba gaming berspesifikasi tinggi. Adalah lebih baik jika pengecas ini juga sertakan kuasa 200W ke atas. 180W adalah lemah dan perlahan untuk mengecas komputer riba gaming dengan GPU yang berkuasa. Oleh sebab itu, lebih afdhal sertakan sahaja sokongan PPS agar mudah mengawal kuasa untuk mengecas pelbagai peranti lain termasuk telefon pintar seperti PowerGear 60C.

Innergie 180G dijual dengan tanda harga RM299. Tetapi terdapat harga tawaran menarik yang anda boleh dapatkan dengan harga hanya RM239 sahaja.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Saiz yang nipis dan amat ringan untuk di bawa ke mana-mana.
  • Menyokong majoriti komputer riba gaming yang berada di pasaran.
  • Kabel disertakan yang cukup panjang.
  • Muncung pengecas yang mudah dicabut dan dipasang.
  • Binaan yang baik dan tahan lasak.
  • Sedikit lebar, jika dibandingkan dengan pengecas lain.
  • Tiada port USB-A atau sokongan USB-C.
  • Kuasa pengecasan yang tidak begitu pantas untuk komputer riba gaming.
  • Harga sedikit mahal.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd