Cari @ Amanz

Tahun lalu peranti pertama dengan sensor 108-Megapixel dilancarkan oleh Xiaomi dengan kerjasama Samsung. Tahun ini Samsung akan melancarkan S20 Ultra yang dilengkapi sensor bersaiz gergasi ini. Tetapi trend sensor besar ini berkemungkinan besar tidak akan digunakan pada peranti keluaran Honor.

Pengurus pemasaran Honor, Shen Kailiang telah menulis mengenai trend sensor 100-Megapixel menerusi akaun Weibo beliau. Di dalamnya beliau berkata Honor akan lebih menumpukan perhatian kepada penggunaan sensor dengan saiz pixel yang lebih besar. Ini akan memberikan kualiti gambar yang lebih baik pada pandangan beliau. Tambah beliau lagi, Sony juga tidak berminat untuk menghasilkan sensor sebesar 100-Megapixel dan menumpukan kepada sensor berpixel lebih besar.

Seperti yang dapat dilihat pada peranti Google dan Apple, Megapixel bukanlah segalanya. Produk keluaran kedua-dua syarikat ini masih mampu mempunyai kemampuan kamera yang baik walaupun sekadar dilengkapi sensor sebesar 12-Megapixel pada kamera utama tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd