Cari @ Amanz

Penggunaan Flash pada laman web sudah berkurangan mendadak sejak HTML5 diperkenalkan. Pelbagai masalah sekuriti dan penggunaan memori yang tinggi membuatkan pemalam yang popular pada awal 2000 kini menyebabkan Adobe akan menghentikan pembangunan Flash untuk web tahun ini. Terkini Safari mungkin akan menghentikan terus sokongan Flash pada versi seterusnya.

Pada Safari Technology Preview 99 yang merupakan versi Beta Safari sebelum versi terbaru dilancarkan, Flash tidak lagi disokong. Pengguna tidak lagi boleh memasang pemalam Flash secara manual seperti versi-versi sebelum ini. Tindakan ini tidak mengejutkan kerana jumlah laman web yang menyokong Flash kini adalah terlalu sedikit.

Apple adalah syarikat terawal yang menentang Flash dengan ia tidak pernah disokong pada iPhone, iPod Touch dan iPad. Steve Jobs sendiri telah menulis surat terbuka “Thoughts on Flash” pada tahun 2010 yang mengkritik pemalam ini kerana menggunakan bateri yang tinggi, bermasalah dan tidak menyokong antaramuka sesentuh. Pada awalnya beliau menerima kritikan tetapi selepas sedekad nampaknya pendapat Jobs nyata adalah benar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd