Cari @ Amanz

Teknik forensik mengenalpasti cap jari telah digunakan di mahkamah untuk kes jenayah sejak 1911. Selepas lebih seratus tahun, ia masih lagi digunakan bagi membuktikan identiti suspek di tempat kejadian. Teknologi forensik ini maju setapak lagi kerana saintis kini dapat menentukan usia cap jari yang ditinggalkan.

Cap Jari IdentitiPasukan penyelidik dari Iowa State University yang diketuai Profesor Young Jin Lee baru-baru ini telah menemui teknik untuk menentukan usia cap jari berdasarkan sebatian triacylglycerol yang ditinggalkan. Cap jari tiga individu diambil dan tahap triacylglycerol dipantau selama tujuh hari.

Dengan melihat tahap degradasi triacylglycerol, usia cap jari dapat ditentukan dengan tepat kerana ia bertindak balas dengan udara. Penyelidik juga mendapati usia cap jari masih boleh ditetapkan walaupun selepas ia diselaputi debu forensik yang digunakan untuk melakukan salinan.

Apabila usia dapat ditetapkan, pihak pendakwaraya boleh menggunakannya sebagai bukti suspek berada di tempat kejadian pada waktu jenayah dilakukan. Sebelum ini terdapat kes yang gagal dibuktikan kerana pihak pembelaan menggunakan alasan cap jari yang ditinggalkan adalah lama atau diletakkan sebagai bahan bukti palsu.

Sumber American Chemical Society menerusi NewAtlas

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd