ASUS Memperlihatkan Paparan Mudah-Alih ASUS ROG STRIX XG17AHPE – Hadir Dengan Resolusi Full HD Dan Kadar Segar Semula 240Hz

ASUS Memperlihatkan Paparan Mudah-Alih ASUS ROG STRIX XG17AHPE – Hadir Dengan Resolusi Full HD Dan Kadar Segar Semula 240Hz

Diterbitkan pada Jan 28, 2020 oleh .

Paparan mudah-alih boleh dikatakan sebuah aksesori yang cukup popular kebelakangan ini. Ia sering digunakan oleh pengguna yang inginkan paparan tambahan kepada komputer riba yang digunakan samada untuk tujuan produktiviti ataupun permainan komputer.

Terkini, ASUS, melalui siri ROG mereka telah memperkenalkan paparan mudah-alih ASUS ROG STRIX XG17AHPE. Ia adalah sebuah paparan mudah alih 17 inci yang mempunyai resolusi Full HD (1920×1080) dan juga kadar segar semula 240Hz yang cukup sesuai sekali untuk mereka yang gemar bermain permainan komputer yang dapat memanfaatkan ciri tersebut seperti genre penembak pertama dan sebagainya.

Dari segi pilihan I/O, paparan XG17AHPE ini mempunyai palam USB 3.1 Type-C yang boleh digunakan dengan kabel mini DisplayPort, dua palam Micro HDMI dan juga palam audio yang digabungkan dengan cip audio ESS Sabre yang mampu meningkatkan kualiti audio fon kepala dan pembesar suara yang disambungkan kepada paparan ini.

Menariknya, selain daripada komputer riba ataupun desktop, pengguna juga boleh menyambung paparan ini kepada peranti pintar seperti ASUS ROG Phone. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan bateri bersaiz 7800mAH yang mampu bertahan selama 3.5 jam dengan satu pengecasan penuh.

Buat masa ini, ASUS masih belum mengumumkan bilakah mereka akan mula menjual paparan mudah-alih ASUS ROG STRIX XG17AHPE ini di pasaran antarabangsa mahupun tempatan.



TIPS & ULASAN