Cari @ Amanz

Semua siri Samsung Galaxy Note 10 dan Galaxy S10 sudah menerima kemaskini One UI 2.0 berasaskan Android 10. Kemaskini ini membawakan perubahan antaramuka yang lebih kemas, lebih mesra pengguna dan lebih mudah digunakan. Dalam kemaskini yang sama, mod tema gelap, fokus terhadap privasi dan sekuriti juga ditambah bersama-sama dengan pelbagai fungsi dan ciri baru yang menarik.

Ini membuatkan pengguna peranti mercu dua tahun lepas tertanya, bila pula giliran Samsung Galaxy S9 dan S9+ akan menerima kemaskini ini? Adakah Samsung akan melupakan dua peranti mercu tahun 2018 ini? Sudah tentu tidak. Ini adalah perkara biasa oleh Samsung untuk mengedarkan kemaskini pada peranti mereka dengan amat perlahan. Mengikut jadual Samsung, hanya pada bulan Februari baru siri Galaxy S9 akan menerima kemaskini ini. Baru-baru ini, pengguna S9/S9+ di Jerman sudah mula menerima kemaskini One UI 2.0 Android 10 untuk peranti mereka.

Ia adalah versi akhir Android 10 dan ia diedarkan kepada pengguna yang menguji versi beta sebelum ini. Kemaskini ini bersaiz sekitar 1.8GB sehingga 1.9GB dan ia akan diedarkan secara berperingkat. Bagi pengguna-pengguna S9/S9+, anda boleh mula semak kemaskini anda di tetapan untuk memulakan muat turun dan pemasangan. Jika masih tiada, harap bersabar dan tunggu lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd