Cari @ Amanz

Sejak tahun lepas lagi, Samsung sudah mula memfokuskan terhadap peranti kelas pertengahan. Apa yang saya rasa adalah, Samsung cuba mengikut strategi pengeluar-pengeluar dari China seperti Xiaomi, Oppo dan Vivo – dalam melancarkan pelbagai variasi peranti kelas pertengahan yang murah, hebat dan unik. Fokus Samsung adalah kepada siri Galaxy A yang mana menggantikan siri Galaxy J. Siri Galaxy A serba baharu ini amat berbeza dengan Galaxy A yang pernah mereka lancarkan sebelum ini, yang lebih kepada peranti kelas pertengahan premium.

Antara siri Galaxy A mereka yang menarik adalah Galaxy A30 dan Galaxy A50, yang mana ia dijual pada harga yang amat mampu milik dan menggunakan skrin Super AMOLED. Kita semua sedia tahu yang, skrin AMOLED dari Samsung adalah antara yang paling hebat. Panel ini digunakan oleh banyak peranti pesaing termasuk iPhone. Terkini, Samsung telah hadir dengan Samsung Galaxy A51, iaitu pengganti kepada Galaxy A50 dan A50s. Saya sudah pun menggunakan peranti ini sebagai peranti harian saya dan pengalaman penggunaan saya terhadap peranti ini adalah memuaskan. Sejak dari dulu lagi, jujur saya katakan – saya benci akan peranti kelas pertengahan Samsung. Tetapi, Galaxy A51 ini boleh saya terima dan maafkan.


Spesifikasi

Samsung Galaxy A51
Skrin 6.5″ Super AMOLED Infinity-O
1080 x 2400, 405 ppi
Gorilla Glass 3
Cip Pemprosesan Exynos 9611 (10nm)
CPU 4 x 2.3GHz Cortex-A73
4 x 1.7GHz Cortex-A53
GPU Mali-G72 MP3
Memori 6GB
Storan 128GB
microSD sehingga 512GB
Kamera Utama 48MP (utama) + 12MP (sudut ultra lebar) + 5MP (makro) + 5MP (bokeh)
f/2.0 + f/2.2 + f/2.4 + f/2.2
Kamera Swafoto 32MP, f/2.2
Sambungan USB-C, port bicu audio 3.5mm
Sistem Operasi One UI 2.0, Android 10
Sekuriti Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Optikal
NFC Ada, Samsung Pay
Perlindungan IP Tiada
Bateri 4000mAh,
Adaptive Fast Charging, 15W
Harga RM1299

Samsung Galaxy A51 menggunakan skrin bersaiz 6.5-inci dari panel Super AMOLED rekaan Infinity-O. Ini bermakna, ia adalah skrin berlubang dan tiada lagi takuk kecil seperti generasi sebelumnya. Resolusi adalah FHD+ 1080 x 2400 dengan 405 ppi dan juga perlindungan Gorilla Glass 3.

Skrin peranti ini tidak dinafikan adalah menakjubkan. Walaupun tiada pengiktirafan HDR, ia masih mempunyai warna yang hidup, terang dan realistik. Kecerahan skrin juga adalah amat terang dan memuaskan. Menggunakan peranti ini untuk menonton video di Netflix atau YouTube adalah baik-baik sekali. Walaupun tidak sehebat skrin AMOLED Samsung yang lain, ia mempunyai kualiti yang boleh diterima, dari segi butiran yang hampir jitu dan selesa mata memandang.

Saya yakin ramai yang tidak gemarkan skrin berlubang, dan lebih selesa dengan takuk – kerana ia berada di sebahagian dengan dahi. Manakala skrin berlubang pula bagi yang tidak biasa, ia kelihatan sedikit janggal. Ia seolah ada pixel pada skrin yang mati. Lebih-lebih lagi skrin berlubang yang jenis di tengah-tengah.

Skrin berlubang pada peranti adalah sedikit menjengkelkan, ini kerana warna lensa swafoto tidak begitu hitam. Jadi apabila peranti berada dikunci skrin atau menggunakan latar belakang yang gelap, lensa swafoto jelas kelihatan dari jarak jauh. Hanya selepas menggunakannya dalam masa dua hari, saya sudah biasa dengan skrin berlubang ini dan tidak lagi menjengkelkan.

Peranti ini dijana dengan cip Samusng yang tersendiri, Exynos 9611 dengan binaan 10nm. Ia kemudiannya dipadankan dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Jika itu tidak mencukupi, kad microSD bersaiz sehingga 512GB boleh digunakan pada slot kad SIM kedua. Di atas kertas ia kedengaran seperti mempunyai spesifikasi yang bagus. Ya cukup bagus, tetapi tidak begitu hebat apabila menggunakan peranti ini untuk bermain permua. Saya akan jelaskan dengan lanjut sebentar lagi.

Seperti peranti Galaxy A yang lain, Samsung fokuskan kepada penggunaan gaya hidup. Jadi, sepanjang penggunaan peranti ini saya langsung tidak bermain permua. Apa yang saya gunakan adalah, aplikasi media sosial, melayari web di Google Chrome, menonton video di YouTube dan juga Netflix. Oh ya, sudah tentu juga WhatsApp sebagai medium komunikasi harian saya. Dalam satu hari, jika hanya menggunakan peranti dalam jangka masa yang pendek – ia mempunyai prestasi yang baik. Namun, apabila memberi komitmen penuh terhadap tugasan harian dan penggunaan media sosial tanpa henti termasuk dengan penggunaan kamera – peranti mula membeku dan lengah masa serius mula terasa.

Menatal pergi ke skrin utama, atau mengakses senarai aplikasi terbuka adalah amat perlahan dan menjengkelkan. Animasinya tersangkut-sangkut, dan kerap berlaku microlag. Lebih mengecewakan adalah aplikasi WhatsApp, yang hanya perlukan skrin sentiasa terbiar aktif atau perlu sentiasa membuka aplikasi ini sahaja baru notifikasi akan diterima. Jika kunci sahaja skrin atau kembali ke skrin utama dengan sengaja, WhatsApp akan membeku dan tidak berjalan di latar. Secara tidak langsung segala notifikasi mesej atau panggilan akan diterima.

Jadi anda bayangkan, dengan prestasi yang sebegini, bagaimana jika bermain permua? Ya, ada mod permua seperti Game Launcher – tetapi sampai mana sahaja ia boleh dioptimasikan dengan baik. Penggunaan media sosial sahaja peranti boleh memanas, bayangkan pula permua.

Kamera pula, Samsung telah menggunakan modul segi empat dengan memuatkan empat lensa yang disusun dalam bentuk huruf “L”. Lensa-lensa yang digunakan adalah; 48MP + 12MP + 5MP + 5MP dan kamera swafoto adalah 32MP. Peranti ini juga mempunyai sokongan NFC untuk pembayaran nirtunai Samsung Pay, menggunakan port USB-C, mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan hanya menggunakan pembesar suara mono.

Rekaan

Sudah menjadi identiti Samsung untuk acah-acah mempunyai bahan binaan premium pada peranti kelas pertengahan mereka. Itulah yang apa mereka lakukan pada Galaxy A51 dengan bahan binaan Glasstic iaitu kaca dan plastik yang digabungkan untuk menjadi satu bahan yang baru. Namun, sepanjang penggunaan ia hanyalah plastik dan langsung tiada ciri seakan panel kaca. Pada panel belakang ini juga, Samsung menggunakan rekaan corak berirama baharu “Prime Crush”. Ia menggabungkan tiga corak berbeza pada bahagian belakang dan kemudian ditawarkan dalam beberapa pilihan warna. Unit ulasan kami ini menggunakan warna biru, tetapi di mata saya ia lebih kepada warna yang sedikit kehijauan.

Di bahagian belakang juga adalah lokasi modul kamera yang tidak mempunyai bonjol tebal. Sebaliknya apabila diletak di permukaan yang rata terasa rata. Di bahagian bawah, terdapat port bicu audio 3.5mm, port sambungan USB-C, mikrofon dan kekisi pembesar suara. Beralih ke bahagian atas, tiada apa-apa kecuali satu lagi mikrofon. Di sisi kanan, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai butang Bixby (boleh ditetapkan oleh pengguna) dan juga butang aras suara. Di sisi kiri pula adalah slot kad SIM yang turut mempunyai slot kad memori microSD.

Di bahagian skrin di hadapan, ia mempunyai rekaan skrin yang menyeluruh. Tiada takuk atau dahi yang tebal dan earpiece dimuatkan di bahagian rangka atas. Walau bagaimanapun, di hadapan peranti ini masih terdapat dagu yang agak tebal.

Rekaan peranti ini adalah satu rekaan yang moden dan akan selari dengan peranti-peranti mercu Samsung tahun ini, seperti Galaxy S20 yang akan dilancarkan bulan hadapan. Galaxy A51 ini walaupun mempunyai bahan binaan yang “premium”, ia masih rasa sedap apabila dipegang. Ia adalah peranti yang ringan, jadi tangan tidak lenguh apabila menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang lama. Peranti ini walaupun mempunyai saiz skrin yang besar, ia tidak begitu tebal dan selesa sahaja di tangan.

Pembesar Suara

Pembesar suara pada peranti adalah jenis mono. Jadi pengalaman pendengaran adalah kurang memuaskan. Akan tetapi, kualiti audio adalah cukup baik, walaupun aras suara berada di tahap yang paling tinggi. Mendengar muzik, adalah ok! Tetapi menonton video aksi, tidak mengasyikkan. Ini kerana, ia tidak mempunyai bass yang enak dan filem-filem aksi yang ditonton seperti bunyi letupan atau tembakan tidak enak didengari dan tidak akan memberikan pengalaman yang mengasyikkan.

Akan tetapi, peranti ini telah dioptimasikan dengan Dolby Atmos. Jadi, dengan adanya port bicu audio 3.5mm – gunakan sahaja mana-mana set fon telinga berkualiti untuk menambah lagi pengalaman pendengaran yang lebih sedap.

Skor Tanda Aras

Samsung Galaxy A51 adalah sebuah peranti pintar kelas pertengahan yang baik. Namun, ia tidak mempunyai prestasi yang sesuai dengan semua orang. Berdasarkan ujian saya, ia benar-benar hanya sesuai untuk kegunaan gaya hidup yang ringkas sahaja. Setakat penggunaan untuk media sosial, tontonan video atau mendengar muzik adalah ok! Namun jangan dipaksa untuk bermain permua, jika tidak peranti akan membeku dan akan memberikan tekanan.

Skor tanda aras adalah rendah dalam kelasnya. Di AnTuTu, skor yang diterima hanyalah 161,371. Manakala pada Geekbench 5 untuk skor satu teras, adalah 347. Skor multi-teras pula adalah 1264. Walaupun prestasinya sedikit lemah, peranti ini masih menawarkan kamera yang hebat. Teruskan baca artikel ulasan ini untuk ketahui kehebatan kamera Galaxy A51.

Jangka Hayat Bateri

Kapasiti bateri yang digunakan dalam Galaxy A51 adalah 4000mAh sahaja. Dari apa yang Samsung tawarkan, ia sudah pun memadai. Seperti yang saya katakan, penggunaan yang saya uji adalah pada media sosial dan video sahaja. Paling banyak adalah YouTube, dan WhatsApp, kemudian baru kamera.

Penggunaan yang bersahaja, saya mendapat SOT 4 jam 47 minit dengan baki bateri 15%. Berdasarkan pengalaman, baki 15% itu boleh lagi bertahan untuk tambahan 45 minit sehingga satu jam mengikut penggunaan. Untuk diri saya, sekitar 5 jam SOT ini sudah memuaskan. Ini pula adalah dengan tetapan Adaptive Battery dan mod Optimized digunakan. Jadi cara penggunaan saya adalah pintar dan diuruskan oleh sistem dengan baik.

Sistem pengecasan yang digunakan adalah sistem yang lama, iaitu Adaptive Fast Charging. Kuasanya hanyalah 15W yang mana untuk tahun 2020 adalah amat perlahan. Pada saya, Samsung sepatutnya sekurang-kurangnya tawarkan pengecasan pantas 18W. Jadi ia boleh digunakan dengan pengecas USB-PD yang lain bagi memudahkan lagi pengguna.

Kamera

Samsung Galaxy A51 menggunakan sistem kuad-kamera dari lensa 48MP f/2.0 (utama) + 12MP f/2.2 (sudut ultra lebar) + 5MP f/2.4 (makro) + 5MP f/2.2 (bokeh). Untuk kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.2. Hasil keseluruhan kamera ini adalah seperti yang dijangka untuk peranti kelas pertengahan Samsung. Namun, lensa bokeh dan lensa makro pada saya adalah satu gimik dan kelihatan seperti tiada fungsi. Hanya lensa sudut ultra lebar sahaja yang membuatkan saya terkejut kerana hasilnya amat memuaskan.

Saya akan mulakan dengan lensa sudut ultra lebar terlebih dahulu. Samsung menggunakan sudut pandangan 123 darjah dan amat lebar. Bukan itu sahaja, ia mempunyai paparan yang seakan fisheye namun seperti mempunyai masalah herotan yang telah dibaiki. Secara tidak langsung memaparkan gambar sudut ultra lebar yang cantik dan menarik. Dari segi warna, ia mempunyai nilai dynamic range yang tinggi, warna yang hidup dan butiran yang jitu.

Perlu diingatkan yang lensa sudut ultra lebar ini tidak menyokong auto-fokus. Jadi perlu berhati-hati ketika mengambil gambar.

Gambar seterusnya adalah gambar Live Focus yang sepatutnya menggunakan lensa bokeh bagi membantu hasil yang lebih baik. Namun, gambar mod potret ini kelihatan tidak kemas dan kurang memuaskan. Jika anda lihat gambar saya, di bahagian telinga dan cermin mata – ia turut dikaburkan.

Walau bagaimanapun, ada situasi yang hasilnya adalah cukup menarik. Cuma kekaburan di latar belakang adalah tidak cantik dan dilihat begitu lembut dan tidak realistik.

Seperti lensa sudut ultra lebar, lensa makro juga tidak mempunyai sokongan auto-fokus. Secara tidak langsung menyukarkan saya untuk mengambil gambar jarak dekat. Samsung mengatakan ia mimik lensa DSLR 40mm, namun saya rasakan tidak. Kebiasaannya, pada peranti pintar – jarak yang dicadangkan adalah sekitar 2cm. Namun Galaxy A51 memerlukan jarak sekitar 5cm daripada subjek. Warna juga kelihatan sedikit pudar, tetapi hasilnya adalah baik-baik sahaja.

Untuk lensa utama, ia adalah ok!. Warnanya baik sahaja, mempunyai fokus yang berfungsi dengan elok, dan hasil warna adalah sedikit hidup. Ia tiada nilai HDR yang cukup memuaskan. Lensa 48MP ini bagi saya sudah memadai prestasinya.

Paling mengecewakan gambar di waktu malam, atau dalam keadaan yang gelap. Terdapat silau kenta yang serius dan hingar yang banyak. Walaupun menggunakan mod malam yang terbina, hasilnya adalah mengecewakan. Mungkin jika Samsung membaiki algoritma agar lebih pintar, mungkin akan jadi lebih baik.

Akhir sekali adalah kamera swafoto. Gambar swafoto pada kamera Galaxy A51 ini adalah sedikit pudar. Warna adalah tidak begitu hidup dan menyerlah. Namun warnanya adalah lebih kepada realistik dan semula jadi. Menjadi hasilnya kurang cantik adalah hasil akhir adalah sedikit lembut.

Menariknya adalah, mod Live Focus pada kamera hadapan mempunyai prestasi sehebat kamera belakang.

Walaupun kamera mempunyai prestasi yang tidak begitu memuaskan, apa yang mengejutkan adalah kamera sudut ultra lebar yang dahsyat. Tidak banyak peranti pintar yang mampu menghasilkan imej pandagan sudut lebar dengan nilai HDR yang tinggi.

Untuk kegunaan biasa dan di kawasan yang banyak cahaya, kamera Galaxy A51 adalah cemerlang sahaja. Namun, jangan sesekali gunakan untuk mengambil gambar di waktu malam.

Sistem Operasi

Peranti kelas pertengahan Samsung ini sudah pun menjalankan One UI 2.0 berasaskan Android 10. Secara tidak langsung menawarkan pelbagai fungsi dan ciri menarik seperti yang dilihat hadir pada peranti Galaxy Note 10 atau Galaxy S10.

Tidak banyak yang boleh saya kongsi mengenai One UI 2.0 pada peranti ini. Apa yang saya boleh kongsi adalah, ia adalah sistem operasi yang baik dan banyak perubahan berbanding Galaxy A50 yang menjalankan One UI 1.0. Ia mempunyai prestasi yang lebih baik dari generasi sebelum ini untuk peranti-peranti dalam kelas yang sama.

Rekaan antaramuka adalah lebih kemas, cantik dan mudah digunakan. One UI 2.0 adalah mesra pengguna, lebih-lebih lagi penggunaan satu tangan. Ciri kegemaran saya adalah mod tema gelap yang benar-benar menggunakan skrin Super AMOLED, jadi tema gelapnya turut mempunyai warna hitam yang cukup gelap.

Sedikit mengecewakan adalah kawalan gestur penuhnya. Ia menggunakan kawalan gestur penuh Android 10, yang sedikit mirip dengan kawalan gestur iOS pada iPhone X ke atas. Namun, ia terasa sedikit lengah masa dan kadangkala tidak berfungsi. Menatal ke skrin utama, lebih mudah terbuka Samsung Pay secara tidak sengaja.

Konklusi

Samsung Galaxy A51 adalah sebuah peranti mercu yang baik. Namun, dari segi pengoptimasian Samsung perlu berusaha lagi. Jika dibandingkan dalam kelas yang sama, peranti-peranti Xiaomi sebenarnya mempunyai prestasi yang lebih baik dan kamera yang lebih bagus. Namun, usaha Samsung di sini juga tidak boleh dilupakan. Mereka benar-benar fokus kepada penawaran peranti mampu milik yang ada kuasanya.

Untuk Galaxy A51, paling menarik dan buat pengguna akan beli adalah kamera sudut ultra lebarnya yang mempunyai hasil yang cantik, menarik dan mempunyai warna yang menyerlah.

Harga jualan peranti ini adalah RM1299 dan akan dijual bermula 7 Februari ini. Warna yang ditawarkan adalah Prime Crush hitam, biru dan putih. Jika bajet kewangan anda dalam harga ini, ia mungkin adalah peranti yang berbaloi jika anda ingin kamera dengan sudut pandangan lebar.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Kamera sudut ultra lebar yang sangat menarik
  • Skrin Super AMOLED yang baik-baik sahaja
  • Menjalankan Android 10
  • Pengimbas cap jari yang pantas
  • Prestasi permua yang tidak memuaskan
  • Bahan binaan Glasstic yang tidak menarik
  • Harga sedikit mahal

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd