Cari @ Amanz

Minggu lepas, Poco telah mula mengacah permulaan hidup baharu atau musim kedua bagi jenama mereka. Mereka akan melancarkan peranti baharu pada bulan Februari ini, dan peranti mereka akan hadir dengan skrin kadar segar semula tinggi 120Hz. Terdapat beberapa spekulasi yang peranti baharu mereka, Pocophone X2 (Poco X2) adalah sebuah Redmi K30 yang hanya dijenamakan semula sahaja.

Baru-baru ini telah tertiris satu poster jualan Poco X2 di India yang mengesahkan yang ia benar-benar adalah Redmi K30 edisi 4G yang hanya ditukar nama. Kami katakan ia adalah variasi 4G kerana, ia akan dijana dengan Snapdragon 730G. Secara tidak langsung mengesahkan juga yang peranti Poco baharu adalah peranti kelas pertengahan dan bukan lagi peranti mercu. Ini berkemungkinan adalah siri baru iaitu “X” bagi Poco untuk kelas ini dan “2” bermakna peranti kedua mereka.

Bukan itu sahaja, Poco X2 ini juga akan dijual pada harga yang lebih mahal dari Redmi K30 4G. Harga yang tertiris bagi Poco X2 variasi 6/64 GB di India adalah 18,999 rupee, iaitu sekitar RM1086. Manakala di China, Redmi K30 4G variasi paling rendah di China adalah 1,699 Yuan – iaitu sekitar RM1002 sahaja. Sudahlah harga lebih mahal, storan pula adalah lebih kecil. Disebabkan Redmi K30 menggunakan skrin LCD 120Hz, jadi Poco X2 juga pasti adalah panel yang sama.

Ada kemungkinan besar, Poco melancarkan peranti kelas pertengahan ini untuk pasaran global bagi Redmi K30 dan memberi peluang kepada jualan Xiaomi Mi 10 terlebih dahulu. Jika Poco ingin lancarkan peranti mercu, pasti dalam siri “F” juga – mungkin Poco F2? Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi Poco kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd