Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Note 10 adalah peranti mercu Samsung yang paling ramai minat. Ini kerana, ia penuh dengan pelbagai fungsi dan ciri seperti Galaxy S-Pen yang hebat. Bukan itu sahaja, ia juga mengekalkan beberapa spesifikasi utama dari Samsung Galaxy S10. Untuk S-Pen, Samsung menawarkan kawalan gestur atas udara agar pengguna boleh acah-acah menjadi seorang pahlawan Jedi atau pelajar Hogwarts.

Namun, harga jualan sebuah Galaxy Note 10 dari Samsung sendiri mencapai RM3000 dan tidak semua orang mampu memilikinya. Oleh yang demikian, Samsung hadir dengan peranti mercu baharu dalam siri Galaxy Note – Galaxy Note 10 Lite. Menurut Samsung, Galaxy Note 10 Lite masih dikira sebagai peranti mercu walaupun dijana dengan cip pemprosesan Exynos 9810. Iaitu cip yang digunakan pada dua tahun lepas dalam Galaxy Note 9. Akan tetapi, ia bukan peranti mercu biasa dan Samsung menggelarkannya sebagai peranti mercu “ringan” agar ia lebih mudah untuk orang ramai beli. Tetapi adakah hebat untuk peranti yang dijana cip yang sudah berusia? Ini adalah artikel ulasan.


Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 10 Lite
Skrin 6.7″ Super AMOLED Infinity-O
1080 x 2400, 394 ppi
Cip Pemprosesan Exynos 9810 (10nm)
CPU 4×2.7 GHz Mongoose M3
4×1.7 GHz Cortex-A55
GPU Mali-G72 MP18
Memori 6GB
Storan 128GB
microSD sehingga 1TB
Kamera Utama 12MP (utama) + 12MP (telefoto) + 12MP (sudut ultra lebar)
f/1.7 + f/2.4 + f/2.2
Kamera Swafoto 32MP, f/2.2
Sambungan USB-C, port bicu audio 3.5mm
Sistem Operasi One UI 2.0, Android 10
Sekuriti Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Optikal
NFC Ada, Samsung Pay
Perlindungan IP Tiada
Bateri 4500mAh,
Super Fast Charging 25W
Harga RM2299

Samsung Galaxy Note 10 Lite mempunyai skrin yang hampir sama dengan Samsung Galaxy Note 10 biasa, iaitu skrin berlubang Infinity-O. Ia adalah dari panel Super AMOLED 6.7-inci dengan resolusi FHD+ 1080 x 2400 394 ppi. Membezakan skrin peranti ini dengan Note 10 biasa adalah, ia tiada pengiktirafan HDR. Jadi bagaimana kualiti skrin?

Skrin Galaxy Note 10 Lite ini adalah cantik dan baik sekali. Ia memberikan pengalaman menonton yang imersif atau secara menyeluruh. Dengan dahi yang kecil, bezel yang nipis dan dagu yang tidak begitu tebal, menggunakan skrin peranti ini adalah memuaskan. Dari segi warna, ia adalah hidup dan realistik. Dari segi butiran, ia hampir jitu dan mempunyai kecerahan yang cukup terang.

Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Galaxy Note 10 – paparan pada Note 10 Lite adalah lebih pudar dan kurang cerah. Namun, apabila saya berikan peranti ini kepada sesetengah orang untuk dibandingkan – ramai yang menggemarkan skrin Note 10 Lite berbanding Note 10. Pendapat peribadi saya adalah, Note 10 jauh lebih baik.

Peranti ini dijana dengan cip Samusng yang tersendiri, iaitu Exynos 9810 dengan binaan 10nm. Ia dipadankan pula dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Bagi yang rasakan ia tidak mencukupi, sokongan kad memori microSD sehingga 1TB. Cip Exynos 9810 ini bukan cip yang baru, tetapi adalah cip yang pernah digunakan pada dua tahun lepas dalam Galaxy Note 9. Namun adakah ia cukup berkuasa untuk digunakan pada tahun 2020? Ini kerana, peranti Android hanya bertahan selama dua tahun untuk kemaskini utama dan tiga tahun kemaskini sekuriti.

Jika dua tahun lalu, Galaxy Note 9 adalah amat berkuasa. Namun jika digunakan sekarang, prestasinya adalah baik-baik sahaja dan tidak setanding dengan peranti dari pesaing dalam kelas yang sama. Note 9 pada dua tahun lalu menjalankan Android Oreo, manakala Note 10 Lite menjalankan Android 10. Adakah ia akan memberikan perbezaan prestasi yang serius? Dalam penggunaan saya, Note 10 Lite mempunyai prestasi yang okay sahaja. Dalam pengalaman saya, Note 10 Lite mempunyai prestasi yang setanding dengan peranti kelas pertengahan dan langsung tidak layak untuk digelar sebagai peranti mercu.

Sepanjang saya menggunakan Galaxy Note 10 Lite, saya menggunakannya dalam dua situasi. Situasi pertama adalah penggunaan yang ringan, seperti membuka aplikasi yang sedikit, hanya menggunkan media sosial termasuk WhatsApp dan penggunaan pelayar web sahaja. Dalam situasi ini, prestasi peranti ini adalah lancar, tetapi tidak pantas. Tiada lengah masa, tetapi rasa perlahan dan sebagai pengguna yang biasa menggunakan peranti yang dijana Snapdragon. Perbandingan yang saya boleh berikan adalah, prestasi Galaxy Note 10 Lite ini lebih perlahan berbanding Pocophone F1.

Situasi kedua, saya menggunakannya dalam keadaan yang ekstrem. Saya bermain permua, menstrim dari pelbagai aplikasi seperti Netflix dan Spotify dan membuka banyak aplikasi termasuk melalukan multi-tugasan. Dalam penggunaan seperti ini, peranti tidak memanas langsung. Itu adalah satu petanda yang baik. Namun, ia mula rasa lengah masa dan microlag mula berlaku. Peralihan animasi juga terasa perlahan dan memberikan pengalaman penggunaan yang sedikit mengecewakan.

Di sini sekali lagi membuktikan yang Samsung tidak begitu pakar dalam pengoptimasian sistem operasi. Anda bayangkan sahaja, peranti Android lain yang dijana Snapdragon 845 – iaitu cip yang sama digunakan pada tahun 2018 adalah lebih baik. Di sini bukan sahaja kelemahan Samsung di bahagian pengoptimasian, tetapi turut mengesahkan yang cip Exynos adalah tidak begitu berkuasa berbanding cip Snapdragon.

Cukup dengan penjelasan pada cip pemprosesan, kita beralih pula kepada kamera. Di atas kertas, spesifikasi kamera adalah hampir dengan Galaxy Note 10 biasa, namun lensa yang digunakan adalah sedikit berbeza. Note 10 Lite menggunakan tetapan tri-kamera dari lensa 12MP f/1.7 (utama) + 12MP f/2.4 (telefoto) 12MP f/2.2 (sudut ultra lebar). Untuk kamera swafoto juga adalah lebih kurang, iaitu 32MP f/2.2. Saya akan jelaskan mengenai kualiti kamera sebentar lagi. Sebelum itu, kita lihat terlebih dahulu apa yang Samsung tawarkan untuk port sambungan. Peranti mempunyai sokongan NFC untuk pembayaran nirtunai Samsung Pay, menggunakan port USB-C, mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan hanya menggunakan pembesar suara mono.

Rekaan

Pengorbanan Samsung untuk menjadikan sebuah peranti Galaxy Note lebih mampu milik adalah dari segi bahan binaannya. Pada Galaxy Note 10 Lite, hanya dari pandangan jauh sahaja ia kelihatan seperti sebuah peranti yang premium. Sebaliknya, apabila berada di tangan – ia terasa amat murah. Berani saya katakan yang Galaxy Note 10 Lite adalah sebuah peranti Galaxy A dengan dalaman dari Galaxy Note 9 dan kamera seakan Galaxy Note 10.

Bercakap mengenai Galaxy A, panel belakang ini menggunakan bahan binaan yang sama dengan panel siri Galaxy A yang lain – iaitu Glasstic. Ia adalah gabungan plastik dan kaca, yang mana Samsung dakwa adalah sejenis bahan yang baharu. Unit yang saya terima adalah berwarna Auro Glow, iaitu warna yang terkenal pada Galaxy Note 10. Namun seperti Note 10, ia mudah menangkap banyak kotoran cap jari. Pada panel ini, terdapat modul kamera segi empat yang di susun dalam bentuk matriks dan selari antara semua lensa dan LED flash.

Terdapat juga logo Samsung di belakang bawah tengah peranti.  Di bahagian bawah peranti, terdapat lokasi S-Pen, port sambungan USB-C, kekisi pembesar suara dan juga mikrofon. Walaupun saya tidak begitu hiraukan kewujudan port bicu audio 3.5mm yang turut berada di bahagian bawah ini – ia adalah sesuatu yang amat bagus. Ini kerana, masih belum ramai bersedia untuk beralih ke aksesori audio nirwayar sepenuhnya.

Di bahagian atas pula, hanya terdapat mikrofon sahaja. Di sisi kanan, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai butang Bixby. Ia adalah bergantung kepada cita rasa pengguna, bagaimana ingin anda pilih fungsi butang tersebut. Sama ada kekalkan sokongan Bixby atau jadikan sahaja sepenuhnya seperti butang kuasa klasik. Beralih ke sisi kiri, hanya terdapat slot kad SIM yang turut mempunyai slot kad memori microSD.

Di bahagian hadapan, ia mempunyai dahi yang amat nipis (hampir tiada) dan di bahagian sini adalah lokasi earpiece. Terus ke bahagian skrin adalah kamera swafoto, yang lensanya tidak begitu gelap dan walaupun peranti dimatikan – lensa tersebut jelas kelihatan. Setiap sisi bezel adalah nipis dan dagu juga boleh dikatakan nipis. Secara keseluruhan, rekaan peranti ini langsung tidak kelihatan seperti sebuah peranti Galaxy Note. Ia memang benar-benar kelihatan sebagai sebuah peranti Galaxy A. Di tangan juga amat ringan dan memang boleh katakan, ia adalah peranti yang “murah”.

Untuk S-Pen, ia menggunakan S-Pen yang sama dengan Galaxy Note 9. Iaitu S-Pen yang mempunyai sokongan Bluetooth untuk berfungsi sebagai alat kawalan dan juga mempunyai bateri terbina dan Super Capacitor untuk mengecas pen di dalam peranti. Ini adalah satu ciri A+ untuk sebuah peranti dalam kelas ini.

Pembesar Suara

Jika Galaxy Note 10 menggunakan pembesar suara stereo, bagaimana dengan Lite? Sudah tentu tidak. Ia hanya menggunakan pembesar suara mono. Walau bagaimana pun, pembesar suaranya bukanlah sampah dan mempunyai kualiti yang boleh diterima. Cuma, ia tidak mempunyai aras suara yang cukup kuat dan lantang. Jika digunakan di luar rumah, aras suara sudah maksimum dan bunyinya kadangkala sukar untuk didengari – mengikut jenis kandungan.

Dari segi kualiti bunyi, ia adalah seperti apa yang anda lihat pada sebuah peranti kelas pertengahan premium Samsung Galaxy A. Ia mempunyai pembesar suara yang boleh diterima, tidak kira mendengar muzik di Tidal atau Spotify atau juga YouTube Music – kualitinya baik sahaja. Cuma ia tidak akan memberikan pengalaman pendengaran yang memuaskan.

Akan tetapi, peranti ini telah dioptimasikan dengan Dolby Atmos. Jadi, dengan adanya port bicu audio 3.5mm – gunakan sahaja mana-mana set fon telinga berkualiti untuk menambah lagi pengalaman pendengaran yang lebih sedap.

Skor Tanda Aras

Seperti yang saya katakan tadi, prestasi Galaxy Note 10 Lite ini adalah tidak begitu hebat. Ia mempunyai prestasi yang okay, tetapi untuk tahun 2020 dan jika anda bercadang untuk menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang panjang – lebih baik lupakan sahaja. Anda bayangkan sahaja, di laman web AnTuTu Xiaomi Mi 8, Mi MIX 2s dan Pocophone F1 mempunyai skor tanda aras yang lebih tinggi dari Note 10 Lite. Saya bandingkan sahaja dengan Note 9, kerana penggunaan cip yang sama.

Skor tanda aras AnTuTu bagi Galaxy Note 10 Lite adalah lebih pantas dari Galaxy Note 9. Ini mungkin kerana penggunaan One UI 2.0 berasaskan Android 10. Skor yang diterima adalah 333,872. Ujian di Geekbench 5 pula untuk satu teras adalah 673. Manakala untuk multi-teras adalah 2053. Untuk ujian GPU, skor Vulkan di Geekbench 5 adalah 3276 dan skor sebanyak 3820 untuk OpenGL.

Jangka Hayat Bateri

Galaxy Note 10 Lite memuatkan kapasiti bateri yang lebih besar dari Galaxy Note 10, iaitu 4500mAh. Namun, buat pertama kali saya menggunakan sebuah peranti Galaxy Note yang mempunyai ketahanan bateri yang sangat lemah. Peranti ini hanya mempunyai ketahanan bateri sekitar 4 jam 51 minit sahaja SOT dengan baki 12%. Ini bermakna, jika bertahan sehingga 0% – ia mungkin boleh berikan sekitar 45 minit tambahan. Untuk sebuah Galaxy Note, ketahanan bateri sekitar 5 jam adalah lemah.

Sudahlah mempunyai saiz bateri yang lebih besar dari Galaxy Note 10 dan Note 10+, namun sayangnya ia tidak mempunyai ketahanan yang sama. Salah satu puncanya adalah, binaan cip Exynos 9810 adalah 10nm yang untuk peranti baru 2020 adalah satu cip yang lapuk. Mod bateri yang saya gunakan adalah optimized dan turut menghidupkan fungsi adaptive battery yang kononnya adalah mod yang pintar untuk memastikan ketahanan bateri yang lebih baik.

Paling syok yang ada pada Galaxy Note 10 Lite ini adalah, sokonga sistem pengecasan pantas Samsung yang baharu – Super Fast Charging. Ia mempunyai kuasa 25w dan boleh mengecas peranti dari 0%-100% sekitar 1 jam sahaja. Namun ia tidak konsisten, kerana sistem Super Fast Charging ini adalah berasaskan USB-PD dan pada Galaxy Note 10+, ia boleh mencapai sehingga 45w.  Dukacita dimaklumkan, Galaxy Note 10 Lite tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar.

Kamera

Model baharu Galaxy Note ini menggunakan sistem tri-kamera dari lensa 12MP f/1.7 (utama) + 12MP f/2.4 (telefoto) 12MP f/2.2 (sudut ultra lebar). Untuk kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.2. Hasil keseluruhan kamera ini adalah memuaskan. Tidak begitu banyak ingin perkara negatif yang saya temui, kecuali pada kamera swafoto.

Saya akan mulakan dengan lensa sudut ultra lebar terlebih dahulu. Samsung menggunakan sudut pandangan cukup lebar dengan warna yang baik dan nilai dynamic range yang mencukupi. Butiran pada imej sudut ultra lebar juga adalah jitu, tidak begitu lembut dan mempunyai kecerahan yang baik. Memfokus pada subjek juga adalah pantas dan mudah untuk mengambil gambar.

Gambar seterusnya adalah gambar Live Focus melalui kamera utama. Ia adalah standard bagi kamera Samsung, tidak kira peranti mercu atau peranti kelas pertengahan. Pendapat saya, ia masih tidak boleh menandingi peranti dalam kelas yang sama dari pesaing. Tetapi, hasilnya tidak mengecewakan dan adalah memuaskan.

Note 10 Lite juga mirip dengan abangnya, mempunyai sokongan lensa telefoto – agar boleh mengambil gambar subjek yang jarak jauh dengan mudah. Mengejutkan, ia mempunyai hasil yang baik sekali. Warna tidak jauh beza, butiran dikekalkan dan hingar hampir tidak kelihatan.

Kemudian, untuk rakaman gambar di dalam rumah atau pejabat. Ia adalah baik sekali, jika cahaya banyak. Namun, jika hanya bergantung kepada sumber cahaya yang sedikit – hingar akan sedikit kelihatan dan juga silau cahaya akan kelihatan.

Lensa utama pada kamera Galaxy Note 10 Lite ini, walaupun mempunyai spesifikasi yang mirip dengan Note 10 biasa, ia masih sedikit lemah pada pasca-proses. Ini berkemungkinan kerana cip pemprosesan yang boleh saya katakan sudah usang. Namun, secara keseluruhan – hasil kameranya masih baik dan tidak berada di tahap yang mengecewakan.

Akhir sekali adalah kamera swafoto. Dalam beberapa situasi, kamera swafoto Note 10 Lite mempunyai prestasi dan hasil yang cemerlang. Namun, ada situasi hasil gambar akan menjadi begitu lembut, buruk dan penuh dengan hingar. Untuk Live Focus, ia mempunyai prestasi yang lebih memuaskan dan amat kemas.

Warna juga adalah realistik, hidup dan cukup cerah. Butiran pada subjek kekal dan nampak semula jadi sahaja. Apa yang mengecewakan dengan kamera swafoto peranti ini adalah, hasilnya yang tidak konsisten. Walaupun lensa yang digunakan adalah hampir sama, 32MP dengan Note 10 biasa – kuasa pasca-proses pada Note 10 Lite ini amat lemah dan membuatkan pengalaman penggunaan kamera swafoto peranti ini hambar.

Gambar swafoto berkumpulan adalah paling teruk sekali. Ia mempunyai kualiti seakan rakaman skrin dari CCTV atau peranti yang hanya menyokong 3GP. Dalam keadaan cahaya yang banyak juga, hasilnya mengecewakan.

Sistem Operasi

Agar selari dengan Galaxy Note 10 sekarang, Note 10 Lite turut menjalankan sistem operasi One UI 2.0 berasaskan Android 10. Disebabkan One UI 2.0 Android 10 ini bukan sistem operasi yang eksklusif antara peranti-peranti Samsung, ia tidak mempunyai ciri keistimewaan yang tersendiri. Jadi, tidak banyak yang boleh saya kongsikan. Apa yang boleh saya ceritakan adalah beza dengan Note 10 biasa, seperti di bahagian tetapan yang tidak mempunyai tetapan S-Pen yang sama.

Selain itu, lain-lain sokongan adalah sama sahaja. Dari segi rekaan antaramuka, One UI yang lebih mesra pengguna dan mudah digunakan dan juga sokongan mod tema gelap yang sesuai dengan peranti yang menggunakan skrin AMOLED.

Untuk kawalan gestur penuh, One UI 2.0 menggunakan kawalan gestur yang sama dengan Android 10. Ia adalah kawalan gestur yang mirip iPhone X dan sebenarnya mudah digunakan. Cuma, kawalan gestur seperti ini adalah bukan kegemaran ramai dan pada One UI 2.0 – kawalan gestur ini tidak sepantas atau begitu lancar seperti pada Pixel 4.

Walaupun One UI 2.0 sudah mempunyai banyak perubahan, ia masih lagi bukan sistem operasi kegemaran saya. Rekaan keseluruhan adalah begitu ceria dan pada saya adalah seakan tema yang sesuai untuk kanak-kanak ribena. Pada awal ya, ia kelihatan cantik dan kemas – tetapi makin lama rasa kurang gemar.

Sekuriti

Galaxy Note 10 Lite menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin jenis optikal. Ia adalah teknologi yang berbeza dengan ultrasonik, yang mana pada Galaxy Note 10 adalah agak pantas. Namun pada Note 10 Lite, sistem pengimbas capnya adalah sangat perlahan. Jika dibandingkan dengan Samsung Galaxy A51, iaitu adalah peranti kelas pertengahan mereka – A51 jauh lebih pantas dari Note 10 Lite.

Seperti mana-mana peranti Samsung lain, Note 10 Lite juga mempunyai sokongan nyahkunci berasaskan wajah. Ia menggunakan kamera swafoto, dan pada peranti ini ia kerap gagal dan kadangkala langsung tidak berfungsi. Sepanjang penggunaan saya, saya lebih banyak menyahkunci peranti dengan kod pin sahaja.

Konklusi

Mengakhiri ulasan Galaxy Note 10 Lite ini, pasti akan ada yang tertanya – untuk siapakah peranti ini? Adakah ianya berbaloi? Lebih baik beli Galaxy Note 9 atau Note 10 Lite?

Samsung Galaxy note Lite hadir ke dunia ini, agar mereka yang tidak mampu membeli peranti Galaxy Note sebelum ini – berpeluang membeli sebuah. Ianya berbaloi, jika anda inginkan penggunaan S-Pen dan kamera yang menghampiri Galaxy Note 10. Antara Note 9 dan Note 10 Lite, ia adalah bergantung kepada cara penggunaan pengguna. Jika kalis air dan pengecasan nirwayar serta bahan binaan premium adalah yang anda inginkan – lebih baik Note 9. Tetapi perlu ingat, Galaxy Note 9 tidak menyokong pengecasan yang pantas dan sehingga hari ini masih menjalankan One UI 1.0 Android Pie.

Harga Galaxy Note 10 Lite akan dijual pada 7 Februari ini dengan tanda harga RM2299. Setiap pengguna yang membuat pra-tempahan dari 3/2 sehingga 5/2, anda akan menerima sepasang Galaxy Fit. Harga yang mencecah lebih RM2000 ini untuk sebuah peranti yang dikuasakan dengan cip usang dan bahan binaan murah, adalah mahal. Tetapi, mana ada pilihan lain? Ini adalah satu-satunya jenama peranti Android yang menawarkan sokongan stilus yang baik. Jadi, ini sahajalah pilihan yang boleh anda pilih.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Skrin Super AMOLED yang cantik, walaupun tiada HDR
  • Fungsi S-Pen yang boleh diterima
  • Menyokong pengecasan pantas 25W
  • Kemampuan fotografi yang baik-baik sahaja dan sokongan Super Steady pada video
  • Tidak mempunyai sokongan perindungan IP68
  • Tiada sokongan pengecasan nirwayar
  • Bahan binaan yang lemah
  • Pengimbas cap jari yang sangat perlahan
  • Cip pemprosesan usang
  • Harga yang sedikit mahal

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd