Ulasan Samsung Galaxy A71 – Lebih Baik Dari Nota Cinta Kelmarin?

Ulasan Samsung Galaxy A71 – Lebih Baik Dari Nota Cinta Kelmarin?

Diterbitkan pada Feb 3, 2020 oleh .

Untuk memulakan tahun baru, Samsung telah hadir dengan empat peranti baharu. Galaxy A51, Galaxy A71, Galaxy Note 10 Lite dan Galaxy S10 Lite. Bagi yang perasan, Samsung sebenanrnya mengikut jejak langkah jenama dari China, iaitu melancarkan pelbagai variasi dan model telefon pintar dan menjualnya pada harga mampu milik. Minggu lepas telah kami terbitkan ulasan bagi siri galaxy A baharu, A51 – dalam artikel ini kami akan ulas pula abangnya Galaxy A71.

Bagi yang tidak tahu, siri baharu Galaxy A ini adalah pengganti kepada siri Galaxy J yang sudah ditamatkan. Untuk Galaxy A71, Samsung meneruskan penggunaan skrin Super AMOLED, panel belakang Glasstic dan yang paling menarik buat pertama kalinya – Samsung menyertakan sokongan kamera makro. Jadi yang mana satukah yang lebih baik? Mari baca artikel ulasan ini.


Spesifikasi

Samsung Galaxy A71
Skrin 6.7″ Super AMOLED Infinity-O
1080 x 2400, 393 ppi
Gorilla Glass 3
Cip Pemprosesan Snapdragon 730 (8nm)
CPU 2×2.2 GHz Kryo 470 Gold
6×1.8 GHz Kryo 470 Silver
GPU Adreno 618
Memori 6GB
Storan 128GB
microSD sehingga 512GB
Kamera Utama 64MP (utama) + 12MP (sudut ultra lebar) + 5MP (makro) + 5MP (bokeh)
f/1.8 + f/2.2 + f/2.4 + f/2.2
Kamera Swafoto 32MP, f/2.2
Sambungan USB-C, port bicu audio 3.5mm
Sistem Operasi One UI 2.0, Android 10
Sekuriti Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Optikal
NFC Ada, Samsung Pay
Perlindungan IP Tiada
Bateri 4500mAh,
Super Fast Charging 25W
Harga RM1799

Samsung Galaxy A71 menggunakan skrin bersaiz 6.7-inci dari panel Super AMOLED rekaan Infinity-O. Ini bermakna, ia adalah skrin berlubang dan tiada lagi takuk kecil seperti generasi sebelumnya. Resolusi adalah FHD+ 1080 x 2400 dengan 393 ppi dan juga perlindungan Gorilla Glass 3.

Di bahagian hadapan, sebenarnya tidak ada banyak perubahan yang ketara. Cuma apa yang jelas kelihatan adalah penggunaan skrin berlubang sahaja. Mungkin ada yang lebih selesa dengan takuk dan ada yang akan rasa, lensa swafoto di bahagian tengah-tengah atas skrin adalah menjengkelkan. Namun, dengan rekaan seperti ini – nisbah skrin-ke-badan adalah lebih tinggi. Secara tidak langsung, peranti ini akan selari dengan peranti-peranti Samsung lain – iaitu pengguaan rekaan moden.

Dari segi kualiti, kecerahan pada skrin peranti ini adalah sangat terang. Jadi ia mungkin akan menjadikan pandangan mata beberapa pengguna kurang selesa. Lebih-lebih lagi apabila bangun dari tidur dan ingin semak masa dan notifikasi di awal Subuh. Walau bagaimanapun, dari segi kontras ia adalah mencukupi dan warna hitam juga adakah cukup gelap. Lebih menarik lagi adalah, jika anda teliti pada rekaan bezel ia kini dilihat semakin sekata dan cantik.

Untuk cip pula, ia adalah antara terbaik antara empat peranti yang Samsung lancarkan pada awal tahun 2020 ini. Ini kerana, Samsung tidak menggunakan cip Exynos – sebaliknya adalah Snapdragon 730. Walaupun bukan yang paling berkuasa seperti Snapdragon 730G, ia masih lebih baik dari cip seperti Exynos 9611. Kemudian, Samsung padankan pula dengan memori 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Jika 128GB tidak cukup, storan dalaman boleh dikembangkan sehingga 512GB melalui kad microSD.

Walaupun menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 730, mampukah peranti ini memikul tanggungjawab menjalankan aplikasi yang banyak? Ini kerana peranti Samsung yang menjalankan sistem operasi tersendiri, amat terkenal dengan sistem operasi yang lengah masa. Lebih-lebih lagi pada peranti dalam kelas pertengahan. Syukur, untuk Galaxy A71 ia mempunyai prestasi yang baik. Malah ini adalah yang terbaik antara semua siri Galaxy A lain. Prestasi yang pantas ini turut disebabkan oleh pengguaan memori jenis UFS dan bukannya eMMC seperti peranti kelas pertengahan lain. Secara keseluruhan, Galaxy A71 ini mempunyai prestasi yang cemerlang.

Tetapi apa yang dimaksudkan dengan prestasi yang cemerlang itu? Adakah hanya kerana di atas kertas ia mempunyai spesifikasi yang hebat, ia layak digelar sebegitu? Tidak. Dalam ujian kami, bermain permua dengan grafik yang intensif akan memberikan pengalaman bermain yang baik. Malah, kami langsung tidak menghadapi masalah peranti memanas ketika bermain. Samsung juga telah membuat satu perkara yang berada di luar jangkaan kami, yang mana dari segi grafik ketika bermain permua adalah amat cantik dan prestasi keseluruhan adalah lancar sekali.

Kamera pula, Samsung telah menggunakan modul segi empat dengan memuatkan empat lensa yang disusun dalam bentuk huruf “L”. Ya, uia mempunyai susunan yang sama dengan Galaxy A51. Lensa-lensa yang digunakan adalah; 64MP + 5MP + 5MP + 12MP dan kamera swafoto adalah 32MP. Peranti ini juga mempunyai sokongan NFC untuk pembayaran nirtunai Samsung Pay, menggunakan port USB-C, mengekalkan port bicu audio 3.5mm dan hanya menggunakan pembesar suara mono.

Rekaan

Sudah menjadi identiti Samsung untuk acah-acah mempunyai bahan binaan premium pada peranti kelas pertengahan mereka. Itulah yang apa mereka lakukan pada Galaxy A71 dengan bahan binaan Glasstic iaitu kaca dan plastik yang digabungkan untuk menjadi satu bahan yang baru. Namun, sepanjang penggunaan ia hanyalah plastik dan langsung tiada ciri seakan panel kaca. Pada panel belakang ini juga, Samsung menggunakan rekaan corak berirama baharu “Prime Crush”. Ia menggabungkan tiga corak berbeza pada bahagian belakang dan kemudian ditawarkan dalam beberapa pilihan warna. Unit ulasan kami ini menggunakan warna biru, tetapi di mata saya ia lebih kepada warna yang sedikit kehijauan. Membezakan A71 dan A51 adalah warna pada A71 adalah lebih cair dan lebih cerah.

Di bahagian belakang juga adalah lokasi modul kamera yang tidak mempunyai bonjol tebal. Sebaliknya apabila diletak di permukaan yang rata terasa rata. Di bahagian bawah, terdapat port bicu audio 3.5mm, port sambungan USB-C, mikrofon dan kekisi pembesar suara. Beralih ke bahagian atas, tiada apa-apa kecuali satu lagi mikrofon. Di sisi kanan, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai butang Bixby (boleh ditetapkan oleh pengguna) dan juga butang aras suara. Di sisi kiri pula adalah slot kad SIM yang turut mempunyai slot kad memori microSD.

Di bahagian skrin di hadapan, ia mempunyai rekaan skrin yang menyeluruh. Tiada takuk atau dahi yang tebal dan earpiece dimuatkan di bahagian rangka atas. Walau bagaimanapun, di hadapan peranti ini masih terdapat dagu yang agak tebal.

Rekaan peranti ini adalah satu rekaan yang moden dan akan selari dengan peranti-peranti mercu Samsung tahun ini, seperti Galaxy S20 yang akan dilancarkan bulan hadapan. Galaxy A51 ini walaupun mempunyai bahan binaan yang “premium”, ia masih rasa sedap apabila dipegang. Ia adalah peranti yang ringan, jadi tangan tidak lenguh apabila menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang lama. Peranti ini walaupun mempunyai saiz skrin yang besar, ia tidak begitu tebal dan selesa sahaja di tangan.

Pembesar Suara

Samsung Galaxy A71 hanya menggunakan pembesar suara mono sahaja. Walaupun begitu, hasil audio yang dikeluarkan adalah amat kuat. Cukup mengecewakan adalah, pengalaman pendengaran kurang memuaskan. Namun disebabkan peranti ini mempunyai port bicu audio 3.5mm, gunakan sahaja mana-mana set fon telinga berkualiti untuk menambah lagi pengalaman pendengaran yang lebih sedap. Ini kerana, untuk penggunaan set fon telinga, ia telah dioptimasikan oleh Dolby Atmos.

Sekuriti

Ini adalah peranti kelas pertengahan, jadi – pengimbas cap jari bawah skrin yang digunakan adalah jenis optikal. Ia tidak semudah dengan pengimbas jenis ultrasonik, yang lebih jitu dan pantas. Namun, jika dibandingkan dengan Galaxy Note 10 Lite – Galaxy A71 adalah jauh lebih pantas dan memuaskan.

Cuma, jika anda tidak minat dengan pengimbas cap jari jenis bawah skrin ini – Samsung turut tawarkan menyahkunci peranti menggunakan imbasan wajah berasaskan kamera swafoto.

Skor Tanda Aras

Samsung Galaxy A71 adalah sebuah peranti pintar kelas pertengahan yang baik. Namun, ia tidak mempunyai prestasi yang cukup baik dengan pesaing yang menggunakan cip yang sama. Berdasarkan ujian saya, ia adalah sebuah peranti yang sesuai untuk kegunaan seimbang. Tidak kira permua atau gaya hidup.

Skor tanda aras adalah cukup baik dalam kelasnya. Di AnTuTu, skor yang diterima adalah 230,956. Manakala pada Geekbench 5 untuk skor satu teras, adalah 535. Skor multi-teras pula adalah 1626. Prestasinya cukup hebat dan tidak nafi jika fokus akan diberi lebih kepada peranti ini berbanding Galaxy A51.

Jangka Hayat Bateri

Kami mengambil masa beberapa hari juga untuk pastikan peranti ini memberi bacaan yang tepat untuk jangka hayat bateri. Syukur dan kami berasa amat lega untuk laporkan yang ketahanan bateri galaxy A71 mampu mencapai SOT sehingga 7 jam. SOT setinggi ini adalah dengan penggunaan ekstrem seperti membuat beberapa ujian tanda aras, kerap mengambil gambar, dan beberapa penggunaan ringan seperti menstrim video dan menggunakan pelbagai aplikasi media sosial.

Sistem pengecasan yang digunakan adalah sistem yang terkini, iaitu Super Fast Charging. Kuasanya hanyalah 25W yang mana selari dengan peranti seperti Samsung Galaxy Note 10. Ya, ia tidak selaju peranti pesaing – tetapi untuk Samsung dan dalam kelas pertengahan ia adalah pantas dan memuaskan.

Kamera

Samsung Galaxy A71 menggunakan sistem kuad-kamera dari lensa 64MP f/1.8 (utama) + 12MP f/2.2 (sudut ultra lebar) + 5MP f/2.4 (makro) + 5MP f/2.2 (bokeh). Untuk kamera swafoto pula adalah 32MP f/2.2. Hasil keseluruhan kamera ini adalah seperti yang dijangka untuk peranti kelas pertengahan Samsung. Namun, lensa bokeh dan lensa makro pada saya adalah satu gimik dan kelihatan seperti tiada fungsi. Hanya lensa sudut ultra lebar sahaja yang membuatkan saya terkejut kerana hasilnya amat memuaskan.

Saya akan mulakan dengan lensa sudut ultra lebar terlebih dahulu. Samsung menggunakan sudut pandangan 123 darjah dan amat lebar. Bukan itu sahaja, ia mempunyai paparan yang seakan fisheye namun seperti mempunyai masalah herotan yang telah dibaiki. Secara tidak langsung memaparkan gambar sudut ultra lebar yang cantik dan menarik. Dari segi warna, ia mempunyai nilai dynamic range yang tinggi, warna yang hidup dan butiran yang jitu.

Kami pasti anda juga ingin lihat hasil sensor 64MP utama ini, sensor ini bukan lagi baru tetapi untuk jenama Samsung, ia adalah antara yang pertama. Kami dapati Samsung sudah tidak ke arah gambar yang lebih terang tetapi sebaliknya pula lebih memfokuskan pencahayaan yang stabil, tajam seperti yang dijangkakan kemampuan pada sensor 64MP. Namun kami masih lagi tidak begitu suka, kerana terpaksa aktifkan mod 64MP secara manual.

Selain itu, daripada lensa makro – ia dapat memberikan imej yang kami mahukan. Walau bagaimanapun, Galaxy A71 hanya mimik lensa 40mm dan untuk mengambil gambar makro ia perlu berada di jaarak yang jauh. Sedangkan peranti pesaing memfokuskan pada jarak 2.5cm atau 0.5cm.

Akhir sekali adalah kamera swafoto. Gambar swafoto pada kamera Galaxy A71 ini adalah sedikit pudar. Warna adalah tidak begitu hidup dan menyerlah. Namun warnanya adalah lebih kepada realistik dan semula jadi. Menjadi hasilnya kurang cantik adalah hasil akhir adalah sedikit lembut. Menariknya adalah, mod Live Focus pada kamera hadapan mempunyai prestasi sehebat kamera belakang.

Oh ya, sebelum saya lupa – berikut adalah sampel untuk kamera di kawasan gelap atau waktu malam. Ini adalah kamera yang paling buruk setakat ini, terlampau penuh dengan hingar dan seakan langsung tiada pasca-proses. Tidak kira menggunakan mod malam atau tidak.

Sistem Operasi

Untuk sistem operasi, OneUI 2.0 pada peranti ini adalah sama sahaja dengan mana-mana peranti Samsung yang lain. Cuma dalam siri Galaxy A, ini adalah yang paling hebat dan tidak mempunyai masalah prestasi seperti model-model lain.

Kami ada membuat satu video khas pembaharuan yang dilakukan terhadap sistem operasi yang mereka telah kemaskini, dan disini ianya boleh sahkan pengalaman yang hampir sama sahaja, anda boleh lihat perubahan di bahagian Device Care yang lebih mesra untuk diguna, terdapat penggunaan graf bagi memberitahu status dan butiran penggunaan bateri. Bukan itu sahaja, ada juga beberapa fungsi yang digabungkan dan ada sudah dipisahkan supaya mudah untuk pengguna mencari sesuatu tetapan yang lebih spesifik.

Rekaan antaramuka adalah lebih kemas, cantik dan mudah digunakan. One UI 2.0 adalah mesra pengguna, lebih-lebih lagi penggunaan satu tangan. Ciri kegemaran saya adalah mod tema gelap yang benar-benar menggunakan skrin Super AMOLED, jadi tema gelapnya turut mempunyai warna hitam yang cukup gelap.

Sedikit mengecewakan adalah kawalan gestur penuhnya. Ia menggunakan kawalan gestur penuh Android 10, yang sedikit mirip dengan kawalan gestur iOS pada iPhone X ke atas. Namun, ia terasa sedikit lengah masa dan kadangkala tidak berfungsi. Menatal ke skrin utama, lebih mudah terbuka Samsung Pay secara tidak sengaja.

Konklusi

Tuntasnya, peranti samsung Galaxy A71 terasa lebih baik daripada model sebelumnya – Galaxy A70. Muungkin kerana cip berkuasa Snapdragon 730 yang digunakan ini memberi prestasi yang memuaskan. Tidak lupa juga yang peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang baik dan turut menyokong pengecasan pantas sehingga 25W.

Kamera 64MP yang mempunyai prestasi yang baik, skrin penuh Super AMOLED yang cantik dan banyak lagi. Cuma kami sarankan Samsung untuk jual peranti ini pada harga yang lebih murah. Samsung Galaxy A71 ini dijual pada harga RM1799, yang mana hanya RM200 lebih murah dari Galaxy A70 yang sebelum inik dijual pada harga RM1999.

Bagi peminat Samsung yang inginkan peranti yang cukup kuasa dan skrin cantik, ini adalah peranti yang baik. Namun, jika jenama bukan apa yang anda pandang – banyak lagi peranti dengan spesifikasi yang lebih kurang sama dijual pada harga yang jauh lebih murah.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Prestasi yang menakjubkan untuk peranti dalam kelasnya
  • Skrin Super AMOLED memuaskan
  • Menjalankan Android 10
  • Pengimbas cap jari yang pantas
  • Kamera low light yang sangat lemah
  • Bahan binaan Glasstic yang tidak menarik
  • Harga sedikit mahal


TIPS & ULASAN