Oppo Memperlihatkan Rekaan Ibu Pejabat Baharu Mereka Di Shenzen Yang Kelihatan Seperti Kapal Angkasa

Oppo Memperlihatkan Rekaan Ibu Pejabat Baharu Mereka Di Shenzen Yang Kelihatan Seperti Kapal Angkasa

Diterbitkan pada Feb 3, 2020 oleh .

Oppo hanya mula mengeluarkan telefon pintar pada tahun 2008 tetapi dalam masa 12 tahun mereka telah berjaya menjadi pengeluar telefon pintar keempat terbesar dunia pada tahun 2019 mengikut angka terkini IDC. Selari dengan statusnya sebagai antara syarikat pengeluar telefon pinta terbesar dunia, Oppo telah berkongsi rekaan terkini ibu pejabat mereka yang akan dibina di Shenzen tahun ini.

Bangunan yang terdiri dari empat menara yang bercantum ini direka oleh firma Zaha Hadid Architects dengan keluasan lantai 185,000 meter persegi. Bangunan akan mempunyai bahagian atrium terbuka yang membenarkan pencahayaan semula jadi ke ruang pejabat. Ini akan membuatkannya kelihatan lebih terbuka dan memudahkan kerjasama di antara kakitangan. Keempat-empat menara bercantum di tingkat dua puluh.

Selain ruang pejabat, menara Oppo akan menempatkan pusat membeli belah, galeri seni, restoran dan akses kepada sistem kereta api bawah tanah Shenzen. Pembinaan telah bermula dengan sasaran pembinaan siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Pembinaan ibu pejabat baharu dilakukan oleh pengeluar bagi menunjukkan evolusi mereka dan juga status yang semakin meningkat. Apple telah berpindah ke Apple Park hampir tiga tahun yang lalu manakala ibu pejabat baharu Google dengan rekaan seperti khemah gergasi masih sedang dalam pembinaan.


TIPS & ULASAN