Super Charge Turbo 100W Dari Xiaomi Masih Belum Sedia Dilancarkan

Super Charge Turbo 100W Dari Xiaomi Masih Belum Sedia Dilancarkan

Diterbitkan pada Feb 5, 2020 oleh .

Pada bulan Mac tahun lepas, Xiaomi mula mengacah Super Charge Turbo – iaitu sistem pengecasan pantas Xiaomi dengan kuasa 100W. Berdasarkan video yang Xiaomi kongsi, ia boleh mengecas bateri 4000mAh dalam masa hanya 17 minit – iaitu sangat pantas jika dibandingkan dengan SuperVOOC 50W atau juga SuperVOOC 65W dari Realme dan Oppo.

Terkini, Lu Weibing selaku Naib Presiden Xiaomi telah menyatakan yang teknologi ini tidak akan hadir dalam masa terdekat dan perlu tunggu lebih lama lagi. Antara sebab kenapa ia masih belum sedia dilancarkan adalah kerana, pengecasan 100W adalah terhad 20% berbanding dengan pengecasan USB-PD 30W. Contohnya, jika 30W boleh mengecas bateri 5000mAh, 100W hanya boleh mengecas 4000mAh. Dengan fokus terhadap peranti 5G tahun ini, bateri yang diperlukan adalah besar dan secara tidak langsung Super Charge Turbo 100W masih belum bersedia untuk diperkenalkan pada peranti sedia ada.

Selain itu, isu keselamatn juga adalah antara kenapa teknologi ini belum bersedia. Masih banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh Xiaomi untuk memastikan keselamatan pada peranti jika menggunakan teknologi 100W. Jika anda ingat, pada tahun lepas – Vivo memperkenalkan Super FlashCharge 120W yang boleh mengecas dari 0%-100% dalam masa hanya 13 minit. Namun, peranti akan menjadi amat panas dan begitu juga pada kabel. Peranti ini pula diuji pada peranti yang menjalankan sistem operasi yang telah diubahsuai – bayangkan jika digunakan pada peranti dengan sistem operasi biasa?

Akan tetapi, Lu Weibing tidak berhenti di sini sahaja dan menyatakan ia akan hadir di masa akan datang.



TIPS & ULASAN