Jika anda seorang gamer yang tegar, dan mempunyai sebuah komputer gaming yang cukup berkuasa, kebarangkaliannya anda pasti tidak gemar keluar dari rumah untuk apa-apa selain untuk kerja. Jika boleh, anda pasti ingin bermain permainan komputer walaupun anda berada diluar rumah.
Kini, NVIDIA telah mengumumkan bahawa perkhidmatan penstriman permainan video mereka, GeForce Now sudahpun keluar dari fasa ujian beta dan pengguna boleh mendaftar untuk menggunakan secara percuma, ataupun dengan bayaran $5 (~RM20) sebulan.
Buat masa ini, GeForce Now hadir dengan sokongan untuk lebih daripada 100 permainan komputer melalui platform-platform popular seperti Steam, Origin, Epic Games Store dan sebagainya, dan apabila anda menghubungkan akaun-akaun ni ke akaun GeForce Now, anda boleh menstrim permainan-permainan tersebut ke komputer, tablet ataupun peranti pintar Android anda tanpa masalah.
Pengguna akaun percuma GeForce Now boleh bermain permainan komputer mereka melalui perkhidmatan ini selama sejam sebelum mereka ditendang ke barisan menunggu, manakala pengguna berbayar boleh bermain selama enam jam berturut-turut sebelum mereka juga perlu berbaris semula untuk bermain. Akan tetapi, pengguna berbayar ini boleh bermain semula lebih cepat berbanding pengguna percuma.
Sayangnya buat masa ini untuk para pengguna di Malaysia, GeForce Now masih belum hadir secara rasmi lagi, dan NVIDIA masih belum mengumumkan bilakah ia akan tiba untuk para pengguna di rantau ini.