Melalukan sandaran ke storan awanan seperti Google Photos kini menjadi lumrah bagi memastikan ribuan gambar serta video yang pernah diambil tidak akan hilang sekiranya peranti dicuri. Perkhidmatan Photos digunakan kerana Google setakat ini mempunyai reputasi yang baik dalam memastikan gambar peribadi tidak diintai oleh pihak ketiga tidak seperti insiden yang melanda iCloud beberapa tahun yang lalu.
Tetapi Google mengeluarkan kenyataan mengatakan video peribadi sebilangan pengguna telah dikongsi dengan insan yang tidak dikenali di antara 21-25 November tahun lalu. Ini disebabkan oleh pepijat apabila menggunakan fungsi Download your data. Video peribadi telah dieksport secara tidak sengaja dengan pengguna lain.
Google telah menghantar emel kepada pengguna yang terkesan. Mereka perlu melakukan proses muat turun data peribadi sekali lagi bagi mendapatkan arkib yang lengkap. Masalah ini telahpun diselesaikan dan Google meminta maaf ke atas segala kesulitan yang mungkin dialami.