Cari @ Amanz

Poco X2 baru sahaja dilancarkan semalam. Buat pertama kalinya, peranti dari Poco adalah sebuah peranti kelas pertengahan dan bukan pembunuh peranti mercu. Paling mengecewakan adalah, Poco X2 hanyalah sebuah Redmi K30 yang dijenamakan semula untuk pasaran global. Kini, terdapat persoalan yang muncul seperti – apa akan terjadi dengan Poco F1?

Menurut sumber yang ada berbual dengan wakil Poco – Manmohan, beliau menyatakan yang Poco F1 kini akan dihentikan penghasilannya. Ini bukan kerana sengaja ingin melakukan sedemikian, tetapi kerana Qualcomm tidak lagi menghasilkan cip Qualcomm Snapdragon 845. Jadi, secara tidak langsung Poco F1 tidak lagi dapat dihasilkan. Jadi, jika ada unit baharu Poco F1 yang anda temui – itu adalah stok yang berlebihan.

Poco X2

Ya, harga Poco F1 sekarang adalah lebih murah dari Poco X2. Lebih menarik adalah, prestasi Poco F1 masih lebih berkuasa berbanding Poco X2, dari segi cip pemprosesan. Jadi peranti manakah yang sesuai? Jika inginkan peranti yang terkini dan kemaskini pantas, Poco X2. Manakala jika inginkan prestasi hebat, Poco F1. Manmohan juga ada berkata yang mereka akan terus menjaga kemaskini peranti Poco F1 agar ia menjadi sebuah peranti yang bertahan lebih lama. Namun, kemaskini sistem operasi – seperti ke Android 11 tidak dikongsi. Tetapi MIUI seperti yang anda tahu, adalah kemaskini daripada sistem dan bukanny asas sistem operasi.

Untuk pasaran Malaysia, kedai atas talian rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee – Poco F1 sudah tidak lagi disenaraikan. Namun, jika masih ada yang berminat – masih ada lagi penjual pihak ketiga yang menjual pada harga yang lebih mampu milik. Masih ada lagikah yang menggunakan Poco F1? Jika ya, bagaimana dengan prestasi peranti anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd