Google Maps Menyambut Ulang-Tahun Ke-15 Dengan Ikon Dan Ciri-Ciri Baru

Google Maps Menyambut Ulang-Tahun Ke-15 Dengan Ikon Dan Ciri-Ciri Baru

Diterbitkan pada Feb 6, 2020 oleh .

Google Maps merupakan salah satu perkhidmatan pemetaan yang sangat popular pada masa kini. Ia telah dimulakan pada tahun 2005 yang lepas, dan kini hari ini Google menyambut ulang-tahun ke-15 untuk perkhidmatan berkenaan.

Perkhidmatan yang dimulakan sebagai hanya peta secara atas-talian, kini telah diperluaskan untuk menyertakan sokongan Street View, Google Earth, navigasi, malah carian pelbagai kedai dan lokasi melaluinya.

Selari dengannya, kini Google mengatakan lebih 1 bilion kilometer dipandu setiap hari dengan sokongan navigasi Google Maps, dan ia meliputi lebih 220 buah negara seluruh dunia.

Google Maps

Bersempena dengan ulang-tahun ke-15 juga, Google memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru untuk pengguna di peranti Android dan iOS – selain pengenalan logo yang serba baru.

Melalui kemaskini baru, Google Maps kini memfokuskan kepada lima tab utama pada aplikasi mereka, iaitu Explore, Commute, Saved, Contribute dan juga Updates.

Melalui tab Explore, pengguna boleh melihat lokasi berdekatan mereka dalam paparan peta. Pada Commute pula, ia lebih memfokuskan ketika anda sedang bergerak menggunakan kenderaan, atau merancang perjalanan ke sesuatu destinasi.

Tab Saved pula memaparkan lokasi yang disimpan oleh anda untuk rujukan akan datang, sementara tab Contribute memudahkan anda untuk berkongsi informasi berkaitan sesuatu lokasi dengan mudah. Dan akhir sekali, pada tab Updates, ia memudahkan pengguna melihat pelbagai kemaskini berhampiran anda, termasuk melihat kedai dan lokasi baru melaluinya.

Bagi anda yang menggunakan Google Maps, boleh menyemak kemaskini baru ini yang akan diperkenalkan secara berperingkat bermula minggu ini. Selamat hari lahir, Google Maps!



Paling Popular