Carian
Huawei, Xiaomi, Oppo Dan Vivo Dilaporkan Bekerjasama Untuk Menyaingi Google Play Store
February 7, 2020 Aman

Pelbagai syarikat pengeluar peranti dari China mempunyai kedai aplikasi masing-masing – terutamanya di China, kerana tiada sokongan Google Play Store disana. Kini, lanjutan daripada halangan dagangan yang dikenakan terhadap Huawei, syarikat pengeluar peranti dari China telah mula melihat kepada alternatif Google Play Store.

Terbaru, melalui Reuters, ia dilaporkan yang mana Huawei, Xiaomi, Oppo dan Vivo bergabung tenaga dibawah sebuah konsortium baru yang dinamakan GDSA (Global Develiper Service Alliance.

Melaluinya, mereka ingin memudahkan para pembangun aplikasi Android untuk memuat-naik aplikasi mereka ke platform berkenaan – dan ia akan diterbitkan di kedai aplikasi pengeluar masing-masing. Langkah ini akan memudahkan aplikasi seseorang pembangun diterbitkan ke kedai aplikasi berkaitan dan diedarkan dengan lebih efisien.

Melalui laman GDSA sendiri, mereka mengatakan perkhidmatan mereka meliputi sembilan negara buat masa ini, termasuk India, Indonesia, Russia dan Malaysia.

Kerjasama ini dilihat akan menguntungkan kesemua pengeluar berkenaan, selain bersedia dengan alternatif Play Store sekiranya terdapat sebarang masalah pada masa akan datang. Ia dikatakan Xiaomi mempunyai pegangan kuat di India, Vivo dan Oppo di rantau Asia Tenggara, dan Huawei di Eropah. Gabungan ke empat-empat jenama ini juga mempunyai sekitar 40.1% pegangan pengeluaran peranti mudah-alih di peringkat global.

Langkah ini boleh dikatakan salah satu langkah yang menarik dalam mengatasi dominasi Google Play Store – dan bersedia dengan langkah alternatif sekiranya berlaku halangan perdagangan dan sebagainya. Apa pun, suatu perkara utama yang akan menjadi tanda tanya adalah sama ada konsortium ini akan berjaya atau sebaliknya dalam menarik para pembangun ke platform berkenaan.

Komen