MSI Prestige merupakan siri komputer riba yang memfokuskan kepada produktiviti pengguna, dan oleh itu, ia hadir dengan rekaan dan pilihan warna yang tidak begitu menyerlah.
Terkini, MSI nampaknya mengubah sedikit langkah dengan memperlihatkan komputer riba MSI Prestige 14 Rose Pink edisi terhad yang mempunyai rekaan sama, tetapi kini didalam pilihan warna merah jambu.
MSI Prestige 14 Rose Pink ini hadir dengan paparan skrin 14 inci dengan pilihan resolusi Full HD ataupun 4K dengan gamut warna sRGB 100 peratus.
Ia dikuasakan oleh CPU Intel Core i7-10710U, memori DDR4 sebanyak 4GB, storan SSD PCIe 3.0 sebesar 512GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1650.
Dari segi palam I/O pula, komputer riba ini mempunyai dua palam USB 2.0 Type-A, dua palam Thunderbolt, satu pembaca kad microSD dan satu palam audio 3.5mm.
Buat masa ini, MSI Prestige 14 Rose Pink ini hanya dijual di pasaran Amerika Syarikat melalui Amazon dan Newegg untuk $1399 (~RM5600). MSI masih belum memberi pengesahan jika komputer riba ini akan memasuki pasaran-pasaran lain seperti Malaysia atau tidak.