Cari @ Amanz

Wabak Novel Coronavirus (nCov) kini sedang menular dengan teruk di beberapa negara di seluruh dunia, dan nampaknya virus tersebut sedang “menular” ke komputer-komputer pengguna pula.

Sekumpulan penggodam kini dilihat sedang menggunakan panik yang hadir akibat virus nCov ini untuk menggodam komputer-komputer pengguna di seluruh dunia yang mencari maklumat mengenai penyakit nCov ini.

Menurut laporan IBM X-Force dan juga Kaspersky, penggodam-penggodam ini akan menghantar emel dengan pautan yang kelihatan tidak berbahaya, tetapi akan memuat-turun perisian hasad ke komputer yang akan membenarkan penggodam-penggodam ini mencuri butiran persendirian pengguna.

Selain daripada pautan yang memuat turun perisian hasad, penggodam-penggodam ini juga akan menggunakan alamat emel palsu CDC (Center For Disease Control) untuk meminta derma melalui kriptowang Bitcoin yang tidak akan diminta oleh pihak CDC.

IBM X-Force dan Kaspersky memberi beberapa petua untuk mengurangkan kebarangkalian komputer dan peranti-peranti anda dijangkiti perisian hasad:

  • Jangan klik pautan-pautan yang dihantar oleh alamat emel yang tidak dikenali
  • Gunakan pengesahan dwi-faktor apabila melog masuk ke laman-laman web yang dilawati
  • Sentiasa kemaskini komputer dan peranti anda dengan perisian terbaru
  • Gunakan perisian antivirus untuk mengurangkan risiko serangan perisian hasad pada komputer dan peranti anda.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd