Pandang Pertama Samsung Galaxy S20 Ultra – Peranti Dengan Kemampuan Zum Angkasa 100X

Pandang Pertama Samsung Galaxy S20 Ultra – Peranti Dengan Kemampuan Zum Angkasa 100X

Diterbitkan pada Feb 12, 2020 oleh .

Samsung Galaxy S20, S20+ dan S20 Ultra dilancarkan secara rasmi sebentar tadi. Model kemas kini untuk empat model S10 tahun lalu ini membawakan lebih banyak penambahbaikan yang telah lama diminta oleh pengguna. Di antara ketiga-tiga model yang dilancarkan, Galaxy S20 Ultra ialah model dengan spesifikasi tertinggi serta kemampuan fotografi yang terbaik. Apakah perbezaannya berbanding dua model yang lain? ini ialah pandang pertama untuk Samsung Galaxy S20 Ultra.

Spesifikasi

Samsung Galaxy 20 Ultra
Skrin 6.9″ WQHD+
Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 120Hz
Pemproses Exynos 990
Cip 2.7 X 2 GHz Custom
2.5 X 2 GHz Cortex A76
2.0 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G77 MP11
RAM 12/16 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman Sehingga 512GB
(mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama 108+12+48+ 3D TOF Megapixel.
f/1.8+f/2.2+f/3.5, OIS, HDR
Kamera Depan 40 Megapixel f/2.2
Bateri 5000 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Belum diumumkan

Galaxy S20 Ultra ialah peranti dengan saiz skrin terbesar pernah digunakan dalam sejarah Galaxy S setakat ini. Ia 0.2″ lebih besar berbanding S10 5G dan 0.1″ lebih besar berbanding Note 10+. Skrin ini menggunakan teknologi Dynamic AMOLED 2X, menyokong resolusi WQHD+. kadar segar semula 120Hz dan juga HDR10+. Dengan kata lain ini ialah skrin terbaik pernah dihasilkan Samsung untuk telefon pintar mereka.

Selepas menerima kecaman pengguna kerana tidak menyokong kadar sedar semula 90Hz, Samsung terus memberikan skrin 120Hz pada ketiga-tiga model S20 tahun ini. Pengguna diberikan pilihan untuk menggunakan 60 atau 120 Hz yang boleh diubah menerusi tetapan peranti. Dengan pilihan ini pengguna yang lebih mementingkan hayat bateri boleh memilih untuk menyahaktifkan skrin 120Hz yang akan memberikan pengalaman tatalan yang lebih lancar. Sokongan 120Hz pada waktu ini hanya diberikan sehingga resolusi FHD+ sahaja.

Selain itu peranti juga mempunyai rekaan bezel yang lebih nipis berbanding model tahun lalu. Ia lebih menghampiri saiz bezel yang ditemui pada Galaxy Note 10. Perubahan pada saiz lengkungan sisi juga telah dilakukan sehingga ia hampir kelihatan rata. Bagi mereka yang merungut skrin melengkung mencacatkan pandangan ketika menonton video, rekaan baharu ini pastinya akan disambut baik.

Pengimbas cap jari ultrasonik terbina bawah skrin dikekalkan. Ini membolehkan jari diimbas walaupun ia  basah ataupun kotor. Hanya satu cap jari boleh diimbas dengan saiz kawasan permukaan pengimbas yang masih kecil. Oleh sebab itu kami mempunyai teori Samsung masih belum menggunakan pengimbas cap jari ultrasonik generasi terbaru yang diperlihatkan oleh Qualcomm pada Disember tahun lalu.

Kami difahamkan untuk pasaran Malaysia, pemproses terkini Exynos 990 akan digunakan dan bukannya Snapdragon 865. Pemproses lapan teras ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 7nm dengan konfigurasi 2+2+4 teras. Dua teras utama teras custom dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A76 dengan kelajuan 2.5 GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 2.0 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G77 MP11.

Ini dipadankan dengan memori 12/16GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 128/256/512GB sahaja. Ini adalah pilihan yang agak menarik kerana tahun lalu Samsung menawarkan storan sehingga 1 TB. Pihak Samsung berkata dengan memori 16GB, peranti boleh menjalankan sehingga lima permua serentak tanpa perlu menjalani proses segar semula. Oleh sebab itu kami terasa sedikit kecewa kerana Samsung Malaysia hanya akan menawarkan model dengan 12GB RAM dan storan 128GB sahaja pada waktu ini.

Tahun lalu kami sudahpun cukup kagum dengan kemampuan multi-tugas Note 10+ yang hanya dilengkapi 12GB. Kami kini tidak sabar untuk mencuba sebanyak manakah aplikasi dapat dilancarkan serentak pada S20 Ultra sebelum ia perlu menjalani proses segar semula. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 1TB.

Bercakap mengenai kamera pula, kuad-kamera utama menggabungkan sensor 108+12+48+3D TOF Megapixel. Sensor 108-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.8. Sensor 12-Megapixel f/2.4 dipadankan dengan lensa ultra sudut lebar 120 darjah. Akhir sekali sensor 48-Megapixel f/3.5 dipadankan pula dengan mekanisme periskop yang memberikan kemampuan zum optikal hibrid sehingga 10X atau zum digital sehingga 100X.

Kamera hadapan pada S20 pula adalah sebesar 40-Megapixel f/2.2 yang diletakkan di dalam lubang kamera pada bucu atas sebelah kanan. Sekali lagi ini ialah saiz kamera swafoto terbesar pernah digunakan pada peranti Galaxy S.

Mengusai peranti ialah bateri sebesar 5000 mAh yang adalah 500 mAh lebih besar berbanding S10 5G. Kombinasi pemproses berkuasa tinggi, sokongan 5G dan skrin 120Hz memerlukan bateri yang bersaiz gergasi ini digunakan. Sokongan pengecasan pantas berwayar sehingga 45W dan nirwayar disertakan. Namun begitu hanya pengecas 25W disertakan dengan setiap pembelian.

Maka pemilik tidak perlu risau bateri yang besar ini memerlukan masa yang lama untuk dicas semula. Dengan PowerShare pula, S2o Ultra boleh mengecas peranti lain seperti Galaxy Buds+ secara nirwayar. Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Siri Galaxy S20 membawakan beberapa pembaharuan dengan integrasi butang Bixby pada butang kuasa, sekaligus mengikut rekaan Note 10 dan Note10+ yang tidak mempunyai butang khusus Bixby. Ia juga mempunyai bezel yang lebih nipis, dan ini sekaligus membuatkan paparan skrin yang lebih besar dapat diletakkan tanpa terlalu mempengaruhi pertambahan saiz peranti.

Satu lagi ura-ura yang dibuktikan benar adalah bahagian tepi skrin yang kini kurang melengkung. Dapat dikatakan, ia tidak mempunyai lengkungan yang sama dengan siri S10, namun fungsi Edge Screen masih tersedia, dan aplikasi popular yang berfungsi pada tepi paparan skrin dapat diakses seperti biasa. Rekaan baharu ini menyelesaikan masalah kandungan video yang dipaparkan pada sisi skrin.

Sokongan audio stereo diberikan menerusi pembesar suara pada bahagian bawah dan gagang telinga yang terletak di atas kamera swafoto. Dengan ini S20 Ultra memberikan pengelaman audio yang baik lengkap dengan sokongan Dolby Atmos.

Kesemua butang diletakkan pada sebelah kanan peranti, dengan butang kawalan tahap bunyi dan juga butang kuasa di bawahnya. Pada hemat kami kedudukan butang kuasa dan suara pada sisi kanan adalah lebih mesra pengguna berbanding sisi kiri pada Note 10.

Pada siri S20 ini juga, tiada lagi bicu audio 3.5mm dan pengguna akan diberikan fon telinga yang menggunakan sambungan USB-C. Dengan ini secara rasminya Samsung tidak lagi menyertakan bicu audio pada kesemua peranti mercu mereka setelah melakukannya pada Note 10 tahun lalu. Ini tidak mengejutkan kerana ia adalah trend sejak tiga tahun yang lalu.

Adalah mustahil untuk tidak bercakap mengenai bonjol kamera S20 Ultra yang amat besar. Ia hampir dua kali ganda lebih besar berbanding yang dapat dilihat pada S20 dan S20+. Saiz yang besar ini digunakan kerana mekanisme periskop yang kompleks serta saiz sensor kamera yang lebih besar. Akibatnya adalah mustahil untuk meletakkan peranti rata pada permukaan meja. Seperti kesemua peranti moden, penggunaan kerangka adalah perlu bagi memastikan lensa kamera tidak tercalar dengan mudah.

Mengenai pengalaman mencuba dan memegang peranti ini, Galaxy S20 Ultra membawakan rekaan yang sedikit besar berbanding Note 10+. Walaupun skrinnya lebih besar, memegang peranti ini dengan satu tangan masih tidak berapa janggal. Boleh dikatakan sekiranya anda pernah menggunakan S10+ atau Note 10+, S20 Ultra tidak akan memberikan masalah kepada anda untuk menggunakannya.

Antaramuka

 Sistem operasi Android 10 dengan pelancar Samsung One UI 2.1 digunakan pada  S20 Ultra. Tiada perubahan yang ketara dilakukan pada rekaan ikon dan elemen antaramuka. Samsung hanya menambah beberapa fungsi baharu seperti QuickShare seakan AirDrop dan juga rutin Bixby yang dipertingkatkan. Menerusi rutin ini peranti akan memberikan saranan kandungan pada aplikasi seperti Netflix dan Spotify.

Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Ini adalah amat penting kerana saiznya yang bukan sahaja lebih besar berbanding Galaxy S terdahulu malah juga yang terberat (220 gram) pernah dihasilkan. Kami telah biasa menggunakan Note 10+ sejak tahun lalu dan transisi ke S20 Ultra tidak terasa terlalu janggal tetapi jika anda tidak biasa menggunakan peranti bersaiz besar, S20 Ultra boleh memberikan sedikit cabaran.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android 10 asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Secara default navigasi tiga butang ini diaktifkan.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S10 dan S10+.

Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Display – Mengubah resolusi ke HD+, FHD+ dan WQHD+. Kadar segar semula 60Hz atau 120Hz juga boleh dipilih. Kadar segar semula 120Hz tidak boleh digunakan pada resolusi WQHD+.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation – Mengubah sistem navigasi tri-butang atau berasaskan gesture boleh dipilih.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

QuickShare – Sistem perkongsian pantas antara peranti Samsung seakan Apple AirDrop. Pada waktu ini hanya menyokong S20 dan Galaxy Fold sahaja.

Kamera

Bonjol berbentuk empat segi yang besar menempatkan sistem kamera yang paling kompleks pernah digunakan pada telefon pintar Samsung. Peranti mampu melakukan rakaman video 8K 30FPS yang kemudiannya boleh menghasilkan gambar statik sebesar 33MP secara serentak. Sensor 108 Megapixel benar-benar digunakan bagi membolehkan gambar yang lebih jelas serta tajam diambil berbanding peranti-peranti terdahulu.

Mekanisme periskop pada sensor 48-Megapixel pula membolehkan zum optikal hibrid sehingga 10X dan zum digital sehingga 100X. Ini adalah kemampuan zum digital tertinggi pernah digunakan pada telefon pintar. Satu inovasi menarik yang diperkenalkan oleh Samsung ialah tingkap kecil pada viewfinder apabila melakukan zum. Menerusi tingkap kecil pengguna lebih mudah mengetahui bahagian manakah yang sedang dizum.

Antaramuka aplikasi kamera turut mempunyai singkatan untuk melakukan zum 0.5X, 1X, 2X, 4X. 10X. 30X dan 100X. Kemampuan zum ini bagus tetapi kami menyedari proses zum adalah kurang lancar. Ini ialah masalah yang sama seperti yang kami sentuh pada ulasan Huawei P30 Pro. Melakukan rakaman video zum dari 1x ke 100X adalah kurang lancar. Setiap kali lensa berubah (dari lensa utama ke lensa zum). imej berganjak dari titik fokus asal. Sekali lagi ini ialah masalah yang turut ditemui pada P30 Pro.

Kerisauan kami mengenai mekanisme periskop pada S20 Ultra telah menjadi realiti. Huawei menyedari masalah ini dan tidak menyertakan mekanisme periskop pada Mate 30 Pro bagi mengelakkan masalah ini berulang. Sekiranya rakaman video yang lancar adalah perlu bagi anda, mungkin S20 dan S20+ adalah pilihan yang lebih selamat. Sungguhpun begitu kami akan menguji semula sistem zum S20 Ultra dengan lebih mendalam di dalam ulasan penuh kami kelak.

Kesimpulan

Tahun lalu Samsung menerima kritikan kerana kemampuan kamera yang dilihat tidak memberikan saingan yang serius kepada Huawei dan Apple  terutamanya dalam prestasi melakukan zum. Kritikan turut diterima kerana penggunaan skrin 60Hz sedangkan panel 90Hz mereka digunakan pula oleh OnePlus. Menerusi S20 Ultra, dua kekurangan ini telah dibaiki menerusi kamera yang mampu melakukan zum sehingga 100X dan juga skrin 120Hz.

Di antara dua penambahbaikan ini, skrin 120Hz adalah yang paling menarik minat kami. Peranti terasa amat lancar terutamanya ketika melakukan tatalan. Perbezaan skrin 60Hz dan 120Hz adalah ketara sekali. Seperti kami ramalkan sebelum ini, pada tahun 2020 penggunaan skrin kadar segar semula yang tinggi akan menjadi trend pada tahun 2020.

Kemampuan zum kamera ini adalah gimik kerana sokongan rakaman 8k 30FPS pada hemat kami akan digunakan oleh lebih banyak pengguna. Kami bercakap berdasarkan pengalaman menggunakan P30 dan Mate 30 sebelum ini. Samsung tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan kemampuan zum optikal mereka yang tidak diubah sejak Note 8.

Walaupun mempunyai saiz skrin yang terbesar pernah disertakan pada siri Galaxy S, secara peribadi kami masih tidak mempunyai masalah menggunakan peranti. Saiz tubuh hanya sedikit lebih besar berbanding Note 10+ yang kami gunakan setiap hari. Satu perkara yang harus dibiasakan ialah komponen kamera yang besar membuatkan S20 Ultra lebih berat pada bahagian atas. Peranti perlu dipegang lebih rendah di telapak untuk mengimbanginya di dalam tapak tangan.

Dari pengalaman singkat menggunakan S2o Ultra pagi ini kami merasakan ini ialah peranti yang menarik untuk dimiliki kerana akhirnya membawakan perubahan yang telah lama dinantikan serta kapasiti bateri (5000 mAh) yang boleh memberikan hayat penggunaan peranti yang lama.

Di atas kertas tahun ini Samsung akhirnya mempunyai pakej yang lengkap untuk terus mendominasi pasaran telefon pintar. Kami kini menanti unit untuk diulas bagi melihat sama ada kesemua penambahbaikan ini akan membuatkannya menjadi antara peranti terbaik 2020. Samsung Galaxy S20 Ultra dijual pada harga RM4999 untuk model 8GB/128GB dengan pra tempahan telahpun dibuka hari ini.


TIPS & ULASAN