Sejak daripada tahun lepas, kita telah mendengar dan mengikuti perkembangan kerajaan Amerika Syarikat yang membuat halangan perdagangan terhadap pihak Huawei – sekaligus membuatkan penawaran perkhidmatan rangkaian telekomunikasi Huawei tidak boleh ditawarkan kepada syarikat telekomunikasi di Amerika Syarikat.
Hal ini turut memberikan kesan terhadap Huawei dalam membetulkan persepsi pengguna dan pembeli mereka. Seperti ramai sedia maklum, Huawei adalah antara syarikat yang terkenal dengan penawaran penyediaan infrastruktur telekomunikasi, malah mereka boleh dikatakan agak mendahului dalam beberapa arena – termasuk rangkaian 5G dan sebagainya.
Selain halangan perdagangan terhadap Huawei, kerajaan Amerika Syarikat turut dilihat ingin mengurangkan dominasi Huawei dalam arena infrastruktur rangkaian. Selari dengannya, kini Peguam Negara Amerika Syarikat mencadangkan yang mana kerajaan Amerika Syarikat patut mempertimbangkan untuk mengambil pegangan pada Nokia dan Ericsson.
Buat masa ini, tiada syarikat dari Amerika Syarikat yang boleh bersaing dengan Huawei dalam arena infrastruktur. Pesaing terdekat boleh dikatakan adalah Nokia dan Ericsson. Sekiranya ingin mengambil pegangan pada kedua-dua syarikat berkenaan, beberapa kaedah boleh dilalui – termasuk membentuk konsortium gabungan syarikat swasta dan kerajaan.
Malah, dengan sokongan kerajaan disebalik kedua-dua syarikat ini, ia akan memberikan lebih keyakinan terhadap kedua-dua syarikat ini untuk digunakan pada peringkat global.
Sebelum ini, ia diperkatakan Amerika Syarikat telah memberikan tekanan terhadap UK untuk menghalang Huawei daripada menawarkan rangkaian 5G di negara UK. Namun, pada bulan lepas, UK membenarkan Huawei untuk menyertai ujian rangkaian 5G terhad di negara tersebut.