Cari @ Amanz

Samsung baru sahaja melancarkan barisan peranti mercu mereka tahun 2020, iaitu siri Galaxy S20. Terdapat tiga model, Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra. Ketiga-tiga peranti ini menawarkan spesifikasi yang hebat, rekaan serba baharu, bateri yang lebih besar dan juga seperti biasa kekal padat dengan pelbagai fungsi dan ciri menarik. Tahun ini, Samsung telah melangkau nama S11 dan terus lompat ke S20 – mungkin agar selari dengan tahun 2020 iaitu dekad baharu. Fokus utama Samsung pada tahun ini jelas sekali adalah pada bahagian kamera.

Adakah kamera peranti baharu Samsung ini akan mengubah persepsi peminat jenama Samsung? Adakah Samsung berjaya kalahkan kehebatan kamera Pixel dalam penggunaan dunia nyata? Kami di Amanz, berpeluang mencuba peranti ini sedikit lebih awal dan dalam artikel ini – ia adalah pandang pertama kami mengenai peranti ini.


Spesifikasi

Samsung Galaxy S20/S20+
Skrin 6.2″/6.7″, QHD+
Dynamic AMOLED 2x HDR10+
Pemproses Exynos 990 (7nm+)
Cip 2×2.73 GHz Mongoose M5
2×2.60 GHz Cortex-A76
4×2.0 GHz Cortex-A55
Cip Grafik Mali-G77 MP11
RAM 8 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman 128 Gigabyte
(mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama S20 – 12MP (utama) + 64MP (telefoto)
+ 12MP (ultra-lebar)
S20+ – 12MP (utama) + 64MP (telefoto)
+ 12MP (ultra-lebar) + 0.3MP (ToF)
Kamera Depan 10 Megapixel f/2.2
Bateri 4000/4500mAh – Pengecasan pantas 25W
(Nirwayar 15W + Nirwayar Berbalik 9W)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin – Ultrasonik
Harga Jualan S20 RM3,599/S20+ RM3,999

Samsung Galaxy S20 hadir dengan skrin 6.2-inci QHD+ Dynamic AMOLED 2x dan tidak lagi melengkung kedua-dua belah sisi seperti Galaxy S10. Skrin pada peranti ini sedikit rata, tetapi masih mengekalkan rekaan skrin berlubang Infinity-O dengan pengiktirafan HDR10+. Pembaharuan yang paling menarik pada Galaxy S20 adalah sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz. Resolusi pada peranti ini adalah QHD+, namun hanya terhad kepada 60Hz sahaja. Menggunakan mod 120Hz, resolusi akan terhad kepada FHD+.

Untuk Galaxy S20+ pula, saiz skrin adalah 6.7-inci dan mengekalkan ciri dan rekaan yang sama. HDR10+, QHD+, 120Hz semuanya kekal dan bezanya adalah saiz. Begitu juga dengan rekaan Infinity-O dan panel jenis Dynamic AMOLED 2x. Sedikit tambahan untuk paparan kedua-dua S20 dan S20+, ia menggunakan teknologi Touch Sensing 240Hz. Secara tidak langsung kadar tindak balas menyentuh skrin akan lebih responsif dan pantas. Dengan bantuan One UI 2.1 yang dibina berasaskan Android 10, animasi juga telah diubahsuai agar lebih ringkas dan rasa lebih laju.

Dari segi kualiti, skrinnya adalah cerah, mempunyai nilai dynamic range yang tinggi dan mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih mengasyikkan. Butiran adalah baik, dan ia adalah standard bagi sebuah peranti Samsung yang mempunyai kualiti skrin yang hebat.

Peranti ini dijana dengan cip Exynos 990 dan dipadankan pula dengan memori 8GB RAM sahaja dengan storan dalaman berasaskan UFS 3.0 128GB. Untuk rangkaian, versi di Malaysia hanya versi 4G sahaja yang akan dijual. Prestasi pada peranti ini adalah bagus dan pantas. Namun, ujian ringkas tadi adalah terhad dan Samsung beri kami uji dalam mod demo sahaja – jadi ada banyak isu dan fungsi terhad. Contohnya, bertukar-tukar antara aplikasi akan terasa sedikit perlahan dan ada lengah masa. Tetapi, dengan adanya skrin 120Hz lengah masa itu hampir tidak terasa.

Sedikit masalah apabila peranti mudah memanas dan kurang selesa dipegang dalam jangka masa yang panjang. Menatal skrin, buka/tutup aplikasi dan menerokai One UI 2.1 adalah menarik dan puas. One UI 2.1 sedikit berbeza dengan One UI 2.0, seperti antaramuka dan penambahan fungsi dan ciri.

Agak sukar untuk kami ceritakan prestasi peranti ini, kerana ujian tanda aras tidak boleh dijalankan pada peranti ini. Tetapi, menurut wakil Samsung – segala lengah masa dan masalah yang dilihat adalah kerana mod demo yang sedang dijalankan. Unit untuk pembeli kelak dikatakan adalah lebih baik.

Kamera

Samsung Galaxy S20 menggunakan tri-kamera belakang gabungan 12MP + 12MP + 64MP, sementara kamera swafoto 10MP. Untuk Galaxy S20+, semuanya adalah sama kecuali ia mempunyai lensa tambahan ToF 0.3MP untuk mengambil gambar mod potret lebih baik dan juga setiap hasil gambar akan mempunyai butiran yang lebih jitu. Prestasi kamera pada peranti ini adalah seperti mana-mana kebanyakan peranti Samsung atau Android, yang mana pertukaran antara lensa akan mengubah warna, kualiti dan juga fokus subjek. Setakat ini tiada peranti Android yang boleh lakukan pertukaran lensa sehebat iPhone 11.

Disebabkan kawasan ujian kami tadi terhad, agal sukar untuk menguji sampel gambar. Kami dapat mengambil beberapa gambar, dan untuk percubaan masa yang singkat – dapat kami katakan hasil gambar adalah satu perkara yang Samsung berjaya hasilkan dengan sangat cemerlang. Apa yang dapat saya katakan, Samsung bijak menggabungkan perisian dan perkakasan dengan baik. Ia bukannya yang sempurna, tetapi cukup baik.

Pertama sekali adalah kemampuan zum. S20 dan S20+ mempunyai 3x zum hibrid optikal dan Space Zoom sehingga 30x. Apa yang menarik dengan zum pada peranti ini adalah, antaramuka dalam kameranya. Ketika zum pada 30x akan ada viewfinder kecil muncul dalam viewfinder utama memaparkan kawasan subjek yang sedang dizum dan fokus. Hasil pula, di dalam viewfinder penuh dengan hingar – tetapi degan kehebatan pasca-proses Samsung hasil gambar menjadi lembut dan boleh diterima untuk zum tiga puluh kali. Peralihan antara zum juga akan mengubah sedikit warna dan bergoyang, jadi perlu berhati-hati ketika menggunakan mod ini.

Kamera lain pula, seperti Live Focus adalah biasa-biasa sahaja dan pada pendapat kami tidak ada perubahan yang drastik. Hasil gambar biasa pula tidak dapat kami uji dengan baik. Tetapi, untuk lensa utama dan sudut ultra lebar – ia adalah memuaskan, penuh dengan butiran, warna yang hidup dan menyerlah serta mempunyai nilai HDR yang mencukupi. Lain-lain pada kamera adalah lebih kepada fungsi dan ciri pintar sahaja. Contohnya, kini terdapat kemampuan membuat penuras sendiri.

Penuras ini akan menggunakan butiran gambar sedia ada seperti ISO, kecerahan, bukaan lensa dan lain-lain dan apabila mengambil gambar baharu – pengguna boleh kekal menggunakan butiran yang sama untuk rakaman baharu. Seterusnya adalah pada bahagian video, Single Take. Ia adalah mod rakaman video 10 saat pintar yang menggunakan kecerdasan buatan. Ia akan sediakan beberapa hasil berbeza, seperti gambar, video pendek, video hitam putih dan banyak lagi. Pengguna boleh terus pilih yang terbaik untuk kongsi di media sosial dan padamkan yang lain.

Untuk ujian kamera yang lain, nantikan sahaja ulasan penuh kami kelak.

Rekaan

Seperti yang kami katakan tadi, skrin pada peranti tidak lagi melengkung kedua-dua sisi. Tetapi ia juga tidak benar-benar rata. Pembandingan yang boleh kami berikan adalah, Galaxy S20 lebih mirip dengan Pixel 2XL. Di hadapan skrin hanya ada kamera berlubang 10MP, dagu yang amat nipis, dan sudah tentu bezel yang hampir tidak kelihatan. Kedudukan earpiece pula berada di bahagian atas, kawasan dahi.

Beralih ke bahagian bawah, hanya ada port USB-C, kekisi pembesar suara dan mikrofon. Bahagian atas juga tiada apa-apa dan sisi kiri juga adalah kosong dan suci. Di bahagian kanan adalah butang-butang utama, iaitu butang kuasa yang turut berfungsi sebagai butang seru Bixby dan butang aras suara.

Pada bahagian belakang, Galaxy S20 dan S20+ kelihatan sama sahaja. Membezakan kedua-dua ini adalah pada modul kamera sahaja. Pada S20 ada tiga lensa dan S20+ empat lensa. Saiz modul kamera juga tidak begitu besar, tetapi masih dikira sebagai bonjol. Rekaan bonjol kamera ini pula adalah segi empat dan selari dengan kebanyakan peranti Samsung pada tahun ini. Akhir sekali pada bahagian bawah peranti di belakang adalah logo Samsung.

Panel belakang peranti ini terasa sedikit “murah” dan amat ringan. Panel yang digunakan adalah kaca Gorilla Glass 6 dan bukannya Glasstic. Tetapi mungkin sebab sudah tidak melengkung dan tidak begitu berat, ia terasa sedikit murah. Walau bagaimanapun, di tangan terasa selesa dan kecil untuk sebuah peranti bersaiz 6.2-inci. Untuk S20+ pula, ia adalah sedikit lebih berat dari S10+ – tetapi selesa sahaja di tangan. Menjadikan S20 dan S20+ ini kelihatan seksi adalah di bahagian hadapan, kerana di bahagian belakang adalah klise untuk peranti Samsung.

Konklusi

Sepanjang penggunaan beberapa jam tadi, apa yang saya boleh katakan untuk Samsung Galaxy S20 dan S20+ adalah – ia adalah satu permulaan baru untuk Samsung. Bermulanya abad baru 2020 ini, Samsung telah mula sedar yang mereka perlu berubah dan tidak terkejar-kejar meniru atau ketinggalan di belakang. Amat jelas, fokus Samsung kali ini adalah pada kamera dan kemudian pada skrin.

Jika anda gemarkan fotografi pada telefon pintar, ia adalah sebuah peranti yang baik. Oh ya, siri Galaxy S20 juga menyokong rakaman video pro – yang mana membenarkan pengguna membuat kawalan manual.

Tidak dinafikan siri S20 adalah peranti yang baik. Namun, masih banyak perkara yang perlu diuji untuk menentukan sama ada adalah Galaxy S20 dan S20+ ini berbaloi untuk dibeli. Ini kerana, Galaxy S20 dijual di Malaysia pada harga RM3,599 dan Galaxy S20+ pula adalah RM3,999. Memori pula adalah 8/128 GB sahaja, yang mana amat mahal dan untuk pandang pertama ini – ia masih mahal dan pada kami tidak begitu berbaloi. Teruskan ikuti Amanz untuk ulasan peranti-peranti S20 akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd