Pada tahun lepas, Microsoft memperkenalkan peranti dwi-skrin mereka yang dinamakan Microsoft Surface Neo, dan melaluinya, sistem operasi baru yang dinamakan Windows 10 X yang dibina khusus untuk peranti-peranti seperti ini.
Beberapa bulan telah berlalu, dan tidak banyak yang diketahui mengenai peranti dan perisian ini. Akan tetapi, Microsoft nampaknya sedang giat membangunkan kedua-dua benda ini, dan di LinkedIn, Microsoft India nampaknya sedang mencari pengaturcara berpengalaman dalam bahasa pengaturcaraan C++ untuk membangunkan ciri kawalan suara.
Tidak banyak yang diketahui mengenai ciri kawalan suara ini, tetapi terdapat ura-ura bahawa ia adalah kemaskini kepada pembantu pintar Cortana yang membolehkan pengguna untuk memberi arahan suara tambahan kepadanya.
Microsoft menyasarkan pelancaran Surface Neo akan berlaku sekitar tahun ini, tetapi buat masa ini tiada lagi tarikh tepat bilakah ia akan diumumkan.