Carian
Xiaomi Mi 10 Kini Rasmi – Snapdragon 865, 108MP, RAM LPDDR5, 90Hz
February 13, 2020 Fahim Zahar

Xiaomi hari ini telah melancarkan peranti mercu baharu mereka, Xiaomi Mi 10. Berdasarkan apa yang tertiris sebelum ini, spesifikasi Xiaomi Mi 10 dilihat lebih kurang sama sahaja. Xiaomi Mi 10 adalah satu peranti serba baharu berbanding Xiaomi Mi 9 dan menggunakan pelbagai teknologi baharu.

Mi 10 menggunakan skrin 6.7-inci AMOLED dengan kecerahan 1,120 nits, menyokong kadar segar semula 90Hz, pengiktirafan HDR10+, dan mempunyai kadar sentuhan 180Hz touch sensing. Rekaan panel pula adalah jenis skrin berlubang, yang mana adalah yang pertama untuk peranti mercu Xiaomi.

Peranti ini dijana Snapdragon 865 dan dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman dari 128GB sehingga 256GB. Untuk bateri, Mi 10 memuatkan bateri dengan kapasiti 4,780mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W berwayar dan nirwayar serta pengecasan nirwayar berbalik 10W. Mi 10 juga menyokong WiFi 6 dan juga 5G SA/NSA.

Untuk kamera, lensa utama adalah 108MP 1/1.33″ 7p 4-dalam-1 1.16um OIS + 2MP sensor kedalaman f/2.4 + 2MP lensa makro f/2.4 2-10cm + 13MP lensa sudut ultra lebar 123 darjash f/2.4. Kamera utama juga menyokong rakaman 8K dan lensa 108MP tadi adalah jenis ISOCELL dari Samsung. Untuk kamera swafoto, Xiaomi menggunakan lensa 20MP. Lain-lain, Xiaomi hadir dengan sokongan biasa seperti GPS, Hi-Res audio, sensor IR dan Bluetooth 5.0.

Harga Xiaomi Mi 10 adalah dari RMB 3,999 (~RM2373) untuk variasi 8/128 GB, RMB 4,299 (~RM2551) untuk 8/256 GB dan RMB 4,699 (~RM2787) untuk 12/256 GB. Warna yang ditawarkan pula adalah Peach Gold, Ice Sea Blue, dan Titanium Black. Xiaomi juga akan melancarkan Mi 10 untuk peringkat global semasa MWC Barcelona 2020, namun disebabkan MWC sudah dibatalkan – tidak pasti sama ada acara pelancaran global atas talian akan diteruskan atau tidak.

Komen