Cari @ Amanz

Xiaomi hari ini telah melancarkan peranti mercu baharu mereka, Xiaomi Mi 10. Akan tetapi, itu kurang menarik kerana di DXOMark – Xiaomi Mi 10 Pro telah menewaskan semua peranti pintar untuk kualiti kamera paling hebat. Bersama-sama dengan Mi 10 tadi, Xiaomi turut melancarkan Xiaomi Mi 10 Pro. Mi 10 Pro dan Mi 10 tidak banyak pun beza, kecuali pada bateri dan kamera sahaja.

Skrin yang digunakan kekal sama dengan Mi 10, iaitu 6.7-inci AMOLED dengan kecerahan 1,120 nits, menyokong kadar segar semula 90Hz, pengiktirafan HDR10+, dan mempunyai kadar sentuhan 180Hz touch sensing. Rekaan panel pula adalah jenis skrin berlubang, yang mana adalah yang pertama untuk peranti mercu Xiaomi. Peranti ini dijana Snapdragon 865 dan dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman dari 256GB sehingga 512GB.

Untuk bateri, Mi 10 memuatkan bateri dengan kapasiti hanya 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 50W berwayar dan nirwayar 30W serta pengecasan nirwayar berbalik 10W. Mi 10 juga menyokong WiFi 6 dan juga 5G SA/NSA. Di dalam kotak Mi 10 Pro, Xiaomi menyertakan pengecas dengan kuasa 65W.

Untuk kamera, lensa utama sedikit berbeza – 108MP 1/1.33″ 8p 4-dalam-1 1.16um OIS + 2MP sensor kedalaman f/2.4 + 2MP lensa makro f/2.4 2-10cm + 20MP lensa sudut ultra lebar 123 darjash f/2.4. Kamera utama juga menyokong rakaman 8K dan lensa 108MP tadi adalah jenis ISOCELL dari Samsung. Untuk kamera swafoto, Xiaomi menggunakan lensa 20MP. Lain-lain, Xiaomi hadir dengan sokongan biasa seperti GPS, Hi-Res audio, sensor IR dan Bluetooth 5.0.

Harga Xiaomi Mi 10 Pro adalah dari RMB 4,999 (~RM2967) untuk variasi 8/256GB, RMB 5,499 (~RM3263) untuk 12/256 GB dan RMB 5,999 (~RM3560) untuk 12/512GB. Xiaomi juga akan melancarkan Mi 10 Pro untuk peringkat global semasa MWC Barcelona 2020, namun disebabkan MWC sudah dibatalkan – tidak pasti sama ada acara pelancaran global atas talian akan diteruskan atau tidak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd