Cari @ Amanz

Google baru-baru ini dilaporkan telah membuang sebanyak 500 pemalam yang mengandungi perisian hasad dari Chrome Web Store baru-baru ini, berikutan penemuan daripada beberapa penyelidik keselamatan digital.

Berikutan penyelidikan selama dua bulan oleh penyelidik-penyelidik keselamatan digital  Duo Security dari Cisco, mereka telah menemui bahawa terdapat satu sindiket penggodam yang telah menanam pemalam-pemalam ini di Chrome Web Store sejak dua tahun yang lalu.

Apabila dipasang, pemalam-pemalam dengan perisian hasad ini akan memuatkan iklan yang ditanam dengan kod-kod hasad yang akan mengalihkan pengguna ke laman-laman web yang lain.

Menurut laporan tersebut, ada diantara pemalam ini yang akan mengalihkan pengguna ke laman-laman web yang sah, tetapi terdapat banyak yang akan memaksa pengguna membuka laman web yang akan memuat turun dan memasang perisian hasad ke komputer anda.

Para penyelidik dari Duo mengatakan Google sudahpun membuang pemalam-pemalam yang terkesan ini daripada Chrome Web Store, dan akan memantau mereka yang memuat-naik pemalam baru untuk memastikan insiden ini tidak berulang lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd