Carian
Google Hadir Dengan GameSnacks – Platform Permainan Kasual Pada Mana-Mana Peranti
February 14, 2020 Fahim Zahar

Terdapat berbilion pengguna telefon pintar yang main permua pada peranti mereka. Kebanyakan permainan video pula, lebih-lebih lagi permaian video berasaskan web (HTML5) – memerlukan sambungan Internet yang pantas dan stabil untuk bermain. Sayang sekali, peranti dengan RAM yang rendah dan sambungan Internet 2G atau 3G – tidak dapat memuat permainan video ini dengan baik. Oleh yang demikian, pasukan Google dari Area 120 telah hadir dengan satu platform baharu yang akan membenarkan pengalaman bermain lebih lancar untuk peranti seperti ini.

Platform ini adalah GameSnacks. Melalui platform ini, permainan video berasaskan HTML5 akan lebih mudah untuk diakses untuk mana-mana peranti tidak kira apa jua sambungan Internet yang digunakan. Terdapat ratusan juta pengguna peranti dengan RAM 1GB dan sambungan Internet 3G sahaja. Pengguna-pengguna ini akan mengambil masa selama 12 saat untuk membiarkan satu laman web permainan dimuatkan. Menurut Google, jika sesuatu laman web itu mengambil masa lebih 3 saat untuk memuat – pengguna akan terus tinggalkan lamab web itu.

Melalui GameSnacks, permainan web akan mengambil masa hanya 3.9 saat untuk memuat dan pengguna boleh terus bermain sesuatu permainan. GameSnacks ini akan sesuai digunakan oleh pengguna dengan sambungan Internet bawah 1Mbps. Apa yang pasukan Area 120 lakukan adalah, memampatkan semua aset permainan dan hanya memuatkan apa yang perlu sahaja terlebih dahulu. Jadi permainan akan lebih mudah, pantas dan cepat untuk diakses. Aset-aset lain akan dimuatkan kemudian.

GameSnacks ini hanya untuk permainan-permainan yang ringkas, seperti hanya beberapa minit sahaja jumlah masa main, jenis yang boleh dimainkan tanpa mengikut arahan dan mudah dibelajar dengan sendiri. Contoh permainan dengan GameSnacks adalah Tower. Permainan seperti ini boleh diakses oleh mana-mana peranti yang boleh mengakses web. Setiap permainan juga akan menyokong sentuhan, kawalan papan kekunci atau juga tetikus dan tidak kira Android, iOS atau desktop – sesiapa sahaja boleh main.

Google turut bekerjasama dengan Gojek, untuk mengimplementasikan GameSnacks dalam platform permainan Gojek tersendiri GoGames. GoGames ini akan hadir secara tersedia dalam aplikasi Gojek. Secara tidak langsung, pengguna di Indonesia akan menjadi yang terawal dapat merasakan pengalaman bermain permainan video web GameSnacks secara lebih awal.

Komen