Carian
DuitNow 2.0 Bakal Diperkenalkan Pada Pertengahan Kedua 2020 Dengan Sejumlah Ciri Baru
February 14, 2020 Aman

DuitNow merupakan salah satu inisiatif yang disediakan oleh pihak PayNet dalam memudahkan transaksi kewangan antara pengguna mahupun antara perniagaan. Ia telah diperkenalkan pada 2018 yang lepas.

Buat masa ini, DuitNow menyokong kemudahan untuk pemindahan wang dengan mudah menggunakan hanya nombor telefon, nombor MyKad, atau nombor pendaftaran syarikat.

Lanjutan daripada itu, kini pihak PayNet bakal memperkenalkan beberapa ciri-ciri baru pada DuitNow melalui apa yang dikenali DuitNow 2.0, menjelang pertengahan kedua tahun 2020 ini.

Antara ciri yang akan diperkenalkan adalah “Request-to-Pay”, “Real-time Debits” dan juga “Consents On-File”.

Request-to-Pay” akan menyediakan kemudahan yang selamat dan mudah untuk membuat pembayaran pada laman edagang atau aplikasi mudah-alih. Langkah ini sekaligus akan memberikan lebih alternatif kepada pembangun laman edagang berbanding penawaran kemudahan pembayaran (payment gateway) pada hari ini.

Consent On-File dan Real-Time Debits pula akan memudahkan pengguna memberikan kebenaran kepada peniaga atau laman edagang dalam menolak duit daripada akaun bank dalam bentuk bulanan – terutamanya untuk perkhidmatan berbentuk langganan bulanan.

Dengan pengenalan ciri-ciri ini, ia dijangka memberikan alternatif kepada pengguna, berbanding perlu menggunakan kad kredit sebelum ini untuk tujuan lebih kurang sama.

Fasa kedua DuitNow ini dijangka akan diperkenalkan pada pertengahan kedua 2020 ini.

Komen