Cari @ Amanz

Tahun lepas, Oppo dilaporkan sedang membangunkan cip pemprosesan tersendiri Oppo M1. Dukacitanya, ia bukannya cip pemprosesan penuh tetapi adalah cip sampingan untuk pengoptimasian tambahan. Tetapi baru-baru ini, Oppo dilaporkan akan terus fokus dan bersungguh-sungguh membangunkan cip pemprosesan mereka yang tersendiri.

Tahun lepas, wakil Oppo ada berkongsi dokumen dalaman yang menyebut satu projek yang dinamakan “Marianan Project”. Projek ini dikatakan telah menerima sokongan dari OPPO TMG Technical Committee, yang diketuai oleh Chan Yen – iaitu bekas pengarah teknikal di Qualcomm. Laporan turut menyatakan yang wakil-wakil dari Realme dan OnePlus sudah turut sertai projek ini. Secara tidak langsung membuktikan yang Oppo benar-benar bersungguh-sungguh ingin bangunkan cip pemprosesan ini.

Untuk pembangunan cip ini sahaja, Oppo dikatakan akan membelanjakan sebanyak 50 bilion Yuan – iaitu sekitar RM29 Bilion dalam masa tiga tahun. Xiaomi sebelum ini turut mempunyai cip yang tersendiri juga, iaitu Surge S1 yang digunakan dalam Xiaomi Mi 5C. Namun, hanya peranti tersebut dilihat dijana cip tersebut dan sehingga hari ini sudah tiada berita baharu mengenainya. Adakah nasib Oppo akan sama seperti Xiaomi atau sebaliknya? Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd