Cari @ Amanz

Pada tahun 2006, Yves Rossy menjadi manusia pertama yang berjaya terbang mendatar menggunakan enjin jet mini serta sayap yang dipasang pada tubuh. Sejak itu beliau diberikan nama jolokan Jetman dan kemudian terus membangunkan pek penerbangan bagi merealisasikan impian terbang seperti seorang adiwira. Di Dubai minggu lalu, syarikat Jetman berjaya melakukan penerbangan sendiri pertama dari permukaan bumi.

Jetman yang diterbangkan oleh Vince Reffet melakukan penerbangan secara menegak terlebih dahulu sebelum melakukan transisi penerbangan secara melintang selama tiga minit. Dalam penerbangan ini Reffet terbang ke ketinggian 1800 meter dan mencapai kelajuan 400 km/j. Di akhir penerbangan pendaratan dilakukan menggunakan payung terjun.

Untuk membolehkan penerbangan sendiri ini dilakukan, corong jet pada Jetman diubah suai dengan kemampuan kawalan oleh juruterbang. Sebelum ini untuk melakukan penerbangan, pengguna Jetman perlu melompat keluar dari sebuah helikopter atau pesawat kecil. Dengan kejayaan ini impian untuk pesawat jet peribadi yang mampu melakukan penerbangan seperti Iron Man semakin hampir menjadi realiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd