Hari ini Google telah memperkenalkan Android 11 Developer Preview. Ia adalah program percubaan versi Android baharu untuk para pembangun. Kali ini, Google hadir dengan program percubaan ini lebih awal dari biasa. Bagi para pembangun, ia boleh diuji melalui pelagak. Manakala, jika pembangun memiliki peranti Pixel 2, Pixel 3, Pixel 3a, Pixel 4 atau mana-mana versi XL daripada empat peranti tersebut – ia turut boleh dipasang dan diuji.
Saya memiliki sebuah Pixel 4 dan saya sudah pun mengorbankan peranti saya ini untuk menguji perkara-perkara baharu dalam Android 11. Disebabkan versi ini tidak stabil dan hanya untuk pembangun, anda tidak digalakkan untuk mencubanya pada peranti anda. Tetapi jika anda degil, atau takut untuk mencuba – baca artikel ini untuk ketahui apa perkara menarik dalam Android 11.
1. Battery Share
Fungsi ini mungkin tidak akan disertakan dalam versi akhir Android 11 pada peranti Google Pixel sedia ada. Tetapi ia adalah fungsi yang pasti akan tiba pada Pixel 5 atau peranti-peranti Pixel lain di masa akan datang. Seperti nama fungsi itu sendiri “Battery Share”, ia membawa maksud perkongsian bateri. Ini bermakna pengguna boleh berkongsi bateri peranti Pixel mereka dengan peranti atau aksesori lain. Anda mungkin pernah dengar konsep ini, iaitu reverse wireless charging atau pengecasan nirwayar berbalik.
Peranti Pixel akan datang yang menjalankan Android 11, boleh mengecas peranti-peranti lain secara nirwayar. Atau juga mungkin tidak. Ia boleh jadi secara nirwayar seperti Samsung atau Huawei atau juga peranti boleh menjadi seakan power bank, yang boleh mengecas peranti lain secara berwayar. Google ada nyatakan fungsi ini boleh digunakan untuk set fon telinga, jam tangan, telefon dan banyak lagi.
2. Bubbles & Conversation
Bubbles adalah satu langkah baru untuk terus berhubung dengan rakan-rakan, keluarga atau yang tercinta. Ia adalah fungsi untuk aplikasi permesejan, yang mana notifikasi akan berubah dalam bentuk buih terapung. Ia adalah seperti aplikasi Facebook Messenger. Cuma melalui fungsi ini, mana-mana pembangun yang mengimplementasikan pada aplikasi mereka dapat mencuba fungsi ini.
Fungsi ini turut digabungkan dengan Conversation yang mana adalah kategori baharu dalam talam notifikasi. Pengguna kini boleh terus berbalas-balas dalam notifikasi untuk menghantar mesej dan sebagainya. Sudah tentu, ia adalah dalam Bubbles. Kemudian, pengguna turut boleh menghantar fail imej melalui notifikasi – yang mana sebelum ini terhad dengan teks sahaja.
3. Do Not Disturb Serba Baharu
Do Not Disturb adalah fungsi yang wujud untuk semua platform, tidak kira Windows, Android atau iOS. Ia adalah fungsi bagi mematikan notifikasi agar pengguna tidak diganggu ketika memandu, tidur, dalam mesyuarat atau sedang berehat. Dalam Android 11, tidak banyak pun perkara baharu. Tetapi apa yang Google lakukan adalah, mengubah susunan di dalamnya.
Susun atur Do Not Disturb di dalam Android 11 ini, kini lebih kemas, mudah digunakan dan banyak bahagian diasingkan. Ini adalah untuk para pengguna lebih mudah dan faham cara penggunaannya. Antara bahagian yang diasingkan adalah People, Apps dan Alarms & other interruptions.
4. Face Unlock Yang Lebih Baik
Pixel 4 bukannya peranti Android pertama dengan yang menyokong nyahkunci berasaskan wajah 100%. Sebelum ini Oppo Find X sudah pun melakukannya. Namun, Pixel 4 adalah yang pertama dengan penggunaan API serba baharu dan juga yang paling pantas untuk peranti Android.
Dalam Android 11, Face Unlock kini boleh ditetapkan agar sekuriti adalah lebih kuat, lemah atau hanya untuk log masuk aplikasi atau pembayaran. Jika kuat, matikan fungsi langkau kunci skrin. Tetapi perlu menatal untuk menyahkunci selepas wajah diimbas. Jika lemah, hidupkan langkau kunci skrin agar selepas wajah diimbas – ia akan terus ke skrin utama. Akhir sekali, Face Unlock boleh dipilih untuk kegunaan log masuk aplikasi dan pembayaran.
5. Getaran Notifikasi Mati Dalam Aplikasi Kamera
Tidak dinafikan yang peranti Pixel mempunyai kualiti kamera yang mengagumkan. Namun, peranti Pixel yang kononnya pintar dengan pelbagai kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin sebenarnya sedikit dungu untuk aplikasi kamera. Lihat sahaja laporan-laporan lepas kami, terdapat pelbagai masalah kamera pada peranti ini. Antaranya adalah hasil gambar dan video sedikit bergegar, walaupun mempunyai penstabilan imej optikal – notifikasi yang masuk akan menyebabkan kamera bergegar.
Oleh yang demikian dalam Android 11, ia kini lebih pintar. Kerana apabila notifkasi tiba, sistem akan mematikan getaran sementara apabila aplikasi kamera sedang digunakan. Ia lebih baik berfungsi ketika membuat rakaman video.
6. Kawalan Baharu Motion Sense
Motion Sense adalah satu fungsi kawalan gestur atas udara yang diperkenalkan pada Pixel 4. Ia menggunakan cip radar yang dinamakan Soli dan pengguna hanya perlu gerakkan tangan seakan Jedi dalam Star Wars untuk mengawal muzik atau mematikan penggera. Cuma dalam versi awal, hanya langkau/kembali sahaja yang boleh dilakukan dalam peranti.
Terkini, Google telah menambah satu kawalan baharu – jeda/main muzik. Dengan kawalan yang ringkas, muzik yang sedang dimainkan boleh dijeda atau kembali dimainkan dengan satu kawalan gestur atas udara yang mudah.
7. Mod Tema Gelap Berjadual
Android 10 adalah dimana bermulanya Google mengambil berat mengenai bateri peranti. Mod tema gelap diperkenalkan agar penggunaan warna pada skrin kurang untuk menjimatkan bateri. Lebih-lebih lagi peranti yang menggunakan skrin AMOLED. Pada Android 10, tema gelap hanya boleh ditetapkan untuk terus kekal atau tema cerah.
Dalam Android 11, Google membenarkan pengguna menjadualkan bila mod tema gelap akan mula aktif. Ia adalah seperti kawalan Night Light yang menambah penuras kuning pada skrin, tetapi ini adalah untuk tema gelap.
8. Permintaan Kebenaran Satu Kali
Sejak Android 10, Google semakin kerap meniru iOS dari Apple. Kini pengguna Android tidak lagi layak menggelar iOS kerap tiru Android, kerana banyak perkara dalam Android 10 yang iOS sudah perkenalkan terlebih dahulu. Salah satunya adalah fungsi seakan Digital Wellbeing dan permintaan kebenaran. Umum sedia maklum yang, permintaan kebenaran dalam Android 10 kini lebih ketat dan pengguna mempunyai lebih banyak kawalan.
Kini dalam Android 11, permintaan kebenaran adalah lebih mirip iOS. Iaitu Permintaan kebenaran satu kali. Contohnya aplikasi suntingan gambar Pixlr, saya ingin menyunting gambar terus dari kamera selepas mengambil gambar. Aplikasi akan meminta kebenaran untuk mengakses penggunaan kamera. Sebelum ini ada pilihan i) benarkan kali ini sahaja, ii) benarkan ketika aplikasi digunakan dan iii) terus tolak. Kini dalam Android 11 ada pilihan “Benarkan sekali sahaja“.
9. Bluetooth Gabeldorsche & Pilihan Codec
Satu lagi kelemahan Android adalah mod kapal terbang. Sebaik sahaja mod kapal terbang diaktifkan, bukan data sahaja dimatikan – Bluetooth juga turut terpadam. Perkara ini menyebabkan jam tangan pintar, peranti boleh pakai atau juga yang paling penting set fon kepala/telinga terus tidak boleh digunakan. Sedangkan dalam iOS, apabila Bluetooth sedang digunakan dan mod kapal terbang diaktifkan – Bluetooth akan kekal aktif.
Kini dalam Andorid 11, melalui ciri Bluetooth stack yang dinamakan sebagai Gabeldorsche – apabila mod kapal terbang aktif, Bluetooth yang sedang digunakan akan kekal aktif. Bukan itu sahaja, pilihan codec audio juga bertambah baik dengan senarai pilihan yang hanya aksesori audio sokong dan tidak akan membenarkan pengguna pilih codec yang tidak disokong.
10. Pin Aplikasi Kegemaran Dalam Share Sheet
Satu lagi fungsi yang Android tiru iOS adalah lampiran perkongsian atau Share Sheet. Ia akan terpapar apabila terdapat imej, fail-fail atau apa jua benda yang pengguna ingin kongsi. Lampiran ini akan menyenaraikan pelbagai aplikasi-aplikasi yang boleh pengguna pilih untuk kongsi fail-fail mereka.
Untuk Android 11, apa yang ditiru dari iOS adalah pengguna boleh pin aplikasi kegemaran terus ke bahagian kedua lampiran kongsi ini untuk akses pantas. Ini adalah perkara yang sudah lama diinginkan oleh para pengguna Android. Ini kerana, menatal dalam senarai aplikasi yang banyak untuk kongsi sesuatu adalah melecehkan.
11. Rakaman Skrin
Akhirnya! Rakaman skrin untuk peranti Android akan terbina secara natif. Kasihan Pixel, peranti Android lain pengeluar sudah pun hadir dengan variasi yang tersendiri. Tetapi Pixel tidak. Untuk Android 11, fungsi rakaman skrin akan diperkenalkan secara natif dan boleh diakses terus di dalam talam notifikasi.
Sebelum ini ia sudah diperlihatkan dalam Android 10 Developer Preview, namun dalam versi stabil dan akhir – ia terus dibuang. Harapnya dalam Android 11 fungsi ini akan dikekalkan. Dalam Android 11, fungsi ini kini berfungsi sedikit lebih baik dengan beberapa kawalan untuk pengguna gunakan. Namun percubaan saya tadi, ia sedikit lengah masa dan mudah membeku.
Lain-Lain
Terdapat banyak lagi perkara lain yang diperkenalkan dalam Android 11. Namun, ini hanyalah versi pembangunan pertama. Jadi akan ada fungsi yang dikekalkan, ada juga fungsi yang akan dibuang. Ada juga kemungkinan segala fungsi dan ciri dalam versi ini terus dibuang dan versi baharu akan diperkenalkan. Kebanyakan fungsi-fungsi di bawah yang saya senaraikan adalah tujuan untuk para pembangun atau sistem sahaja untuk berjalan di latar. Ada juga fungsi yang tidak boleh digunakan lagi.
- Sensitiviti skrin pada Pixel 4 kini lebih baik jika menggunakan pelindung skrin. Ia boleh diaktifkan dalam tetapan paparan.
- Google mula bersedia dengan 5G melalui API Dynamic Meterdness. Sistem akan mengenalpasti jika data pengguna, jika ia mempunyai data tanpa had – akses penuh 5G akan digunakan seperti panggilan video HD, grafik tinggi untuk Stadia atau juga penggunaan Internet dengan masa pendam yang rendah.
- Scope Storage untuk aplikasi-aplikasi mempunyai bahagian storan yang tersendiri. Melaluinya, setiap aplikasi tidak boleh mengakses storan lain untuk mencuri data.
- Sokongan lebih baik untuk pelbagai jenis rekaan, bentuk, takuk skrin – termasuk peranti dengan skrin boleh lipat atau juga skrin watrefall.
- Sensitiviti kawalan gestur penuh yang lebih baik.
- Lesen memandu digital yang boleh terus disimpan dalam peranti.
- Project Mainline yang lebih lancar untuk kemaskini sistem melalui Play Store.
Android R adalah nama versi pembangunan ini. Versi akhir sudah pasti akan menggunakan nama Android 11. Versi awal ini penuh dengan perkara baharu, namun banyak memfokuskan di bahagian teknikal, yang berjalan di latar, sistem dan yang para pembangun lebih mudah faham. Android 11 akan diedarkan kepada pengguna-pengguna Pixel pada suku ketiga tahun ini dan jika ada peranti-peranti lain sertai, seperti OnePlus, Oppo, Xiaomi – ia turut boleh diuji kelak.
Adakah anda tertarik untuk mencuba Android 11? Apa kata anda?