Cari @ Amanz

Sewaktu acara Consumer Electronics Show di Las Vegas pada bulan lepas, Dell telah memperkenalkan model terbaru komputer riba produktiviti padat mereka, Dell XPS 13 yang hadir dengan rekaan dan spesifikasi serba baru.

Bermula dengan paparan skrin Dell XPS 13 ini, ia dilengkapi dengan paparan hampir nirbingkai 13.4 inci InfinityEdge yang mempunyai pilihan resolusi Full HD+ (1920×1200) ataupun UHD+ (3840×2400) dengan sokongan paparan sesentuh, bergantung kepada keperluan anda.

Dari segi spesifikasi dalaman, kesemua model-model Dell XPS 13 yang ditawarkan menggunakan CPU Intel Core i7-1065G7, memori DDR4 sebanyak 8GB ataupun 16 GB, dan pilihan storan SSD NVMe sebesar 512GB dan 1TB.

Dell XPS 13 terbaru ini adalah salah satu daripada komputer riba pertama dibawah Project Athena oleh Intel, dan oleh itu, selain daripada prestasi yang berkuasa, Dell turut mengatakan bahawa komputer riba ini mempunyai jangka-hayat bateri selama 19 jam dengan satu pengecasan penuh.

 

Dell XPS 13 ini boleh mula dibeli hari ini dari laman web Dell Malaysia, yang memperlihatkan empat model dengan spesifikasi yang berbeza bergantung kepada jumlah memori dan storan yang diingini.

Bermula dari RM6898.99, pengguna boleh mendapatkan Dell XPS 13 2020 dengan spesifikasi 8GB memori DDR4 dan 512GB storan, sehinggalah RM7798.99 yang hadir dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD 1TB dengan paparan sesentuh 4K.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd