Android 11 Turut Hadir Dengan Kawalan Gestur, Fungsi Butang Kuasa & Talam Notifkasi Baharu

Android 11 Turut Hadir Dengan Kawalan Gestur, Fungsi Butang Kuasa & Talam Notifkasi Baharu

Diterbitkan pada Feb 21, 2020 oleh .

Android 11 Developer Preview telah pun dilancarkan semalam. Ia hadir dengan pelbagai perkara menarik, yang mana anda boleh baca di artikel yang ditulis semalam. Ya, keseluruhan Android 11 setakat ini masih mirip dengan Android 10. Tetapi, Google telah hadir dengan pelbagai perkara baharu khusus untuk para pembangun. Ini akan menjadikan peranti Android di masa akan datang mempunyai pengalaman penggunaan yang lebih hebat. Dalam Android 11, turut terdapat beberapa fungsi dan ciri baharu yang tersembunyi. Pihak XDA berjaya mencarinya dan dalam artikel ini akan saya jelaskan, apakah fungsi-fungsi tersebut.

Pertama adalah talam notifikasi serba baharu. Melalui talam notifikasi ini, pemain muzik atau pemain media akan diletakkan di dalam kawasan talam notifikasi dan bukan lagi di bawahnya. Pemain media ini kini dikira sebagai sebahagian daripada fungsi di dalam Quick Setting. Google mungkin sedar yang mana apabila pemain media diletakkan di kawasan notifikasi dan pengguna menerima banyak notifikasi, pemain muzik akan terus hilang ke bawah dan pengguna perlu menatal jauh ke bawah dan ia adalah satu kerja yang leceh.

Kedua adalah, panel Quick Setting akan diasingkan daripada talam notifikasi. Fungsi ini dilihat mirip dengan fungsi yang pernah ada dalam custom ROM pada suatu ketika dahulu. Jujur saya katakan, saya juga ingat lagi. Ia pernah berada dalam banyak mod-mod dalam pelbagai jenis custom ROM berasaskan CyanogenMod. Ia hanyalah satu kemasan yang akan membuatkan beberapa pengguna berasa selesa.

Ketiga adalah fungsi pada butang kuasa. Sekarang dalam Android 10, jika butang kuasa ditekan beberapa saat – akan terpapar pilihan Power off, Restart, Screenshot dan Emergency. Pihak XDA telah menemui kod yang akan mengubah cara keempat-empat fungsi ini terpapar. Ia akan kelihatan seakan diakses melalui sejenis Control Centre yang terpapar pada keseluruhan skrin. Akan ada banyak ruang kosong, tetapi menurut XDA ia mungkin untuk kawalan peranti berhubung akan datang – memberikan pengguna akses pantas terhadap kawalan seperti lampu, penghawa dingin dan banyak lagi.

Paling menarik adalah yang keempat, iaitu kawalan gestur baharu. Ia lebih kepada tap di belakang peranti. Menariknya, fungsi ini tidak memerlukan sebarang perkakasan tambahan atau pada peranti baru. Mana-mana Pixel 4 dan ke bawah boleh menyokongnya. Kawalan ini menggunakan giroskop dan akselerometer terbina sahaja. Antara kawalan yang terdapat adalah;

  • Menghentikan pemasa
  • Melancarkan kamera
  • Menyeru Google Assistant
  • Main/jeda media
  • Menutup talam notifikasi
  • Melenyapkan panggilan telefon yang masuk
  • Menidurkan penggera
  • Kawalan notifikasi
  • dan banyak lagi

Kelima juga adalah akses pantas baharu. Tetapi akses pantas ini terbina pada butang kuasa dan adalah untuk mengakses dompet Google Pay. Ia adalah seakan Samsung Pay, tetapi untuk semua kaedah pembayaran yang sudah diselarikan dengan Google Pay.

Fungsi-fungsi ini dilihat tersembunyi dan tidak boleh diakses oleh pengguna biasa. Ia memerlukan kepakaran seorang pembangun untuk mengenalpasti kaedah mengaktifkan daripada kod yang tersembunyi. Ia mungkin tidak akan hadir, mungkin juga akan hadir dalam versi akhir Android R atau Android 11 kelak. Sama-sama kita nantikan.

Sumber: [1], [2], [3], [4], [5]


TIPS & ULASAN