Cip Mana Lebih Berkuasa? – Perbandingan Exynos 990, Kirin 990 5G, Apple A13 Bionic Dan Snapdragon 865

Cip Mana Lebih Berkuasa? – Perbandingan Exynos 990, Kirin 990 5G, Apple A13 Bionic Dan Snapdragon 865

Diterbitkan pada Feb 25, 2020 oleh .

Samsung Galaxy S20+ telah tiba ke Makmal Amanz minggu ini dan kami telah mula melakukan pelbagai ujian sebelum ulasan diterbitkan. Seperti biasa ramai yang pasti ingin mengetahui kemampuan pemproses Exynos 990 yang digunakan pada peranti ini dan juga Galaxy S20, dan Galaxy S20+ yang dijual di Malaysia. Berdasarkan ujian yang telah dilakukan, Exynos 990 adalah lebih berkuasa berbanding Exynos 9925 dan Snapdragon 855+.

Dalam ujian Antutu 3D V 8.2.4, Exynos 990 mencatatkan 509,428 markah. Sebagai perbandingan Exynos 9925 (457,236 markah) yang digunakan pada Note 10+ dan Snapdragon 855+ (484,086 markah) yang digunakan pada OnePlus 7T.

Dalam ujian Geekbench 5.1.0 pula Exynos 990 mencatatkan 903/2685 markah untuk ujian satu teras dan multi-teras. Exyons 9985 mencatatkan 833/2255 markah dan Snapdragon 855+ pula mencatatkan 760/2728 markah. Setakat ini keputusan ujian penanda aras yang dilakukan memihak kepada Samsung. Tetapi apa pula berlaku apabila Exynos 990 dibandingkan dengan Apple A13 Bionic, Kirin 990 5G dan Snapdragon 865?

Eynos 990 hanya mampu mengalahkan Kirin 990 5G (451,560 markah) tetapi tewas kepada A13 Bionic (562,339 markah) dan Snapdragon 865 (551,509 markah). Harus kami tegaskan markah untuk Snapdragon 865 ialah pada peranti prototaip dan versi Antutu terdahulu. Kami masih belum mampu melakukan ujian pada peranti Snapdragon 865 kerana masih belum dipasarkan di Malaysia.

Dalam ujian GeekBench 5 perkara yang sama berlaku kerana Exynos 990 hanya mampu mengalahkan Kirin 990 5G (755/2930 markah) tetapi tewas kepada A13 Bionic (1336/3446 markah) dan Snapdragon 865 (930/3463 markah). Seperti ujian Antutu, markah GeekBench 5 untuk Snapdragon 865 adalah pada peranti prototaip menggunakan versi perisian yang tidak dikemaskini.

Jadi kesimpulannya ialah Exynos 990 yang digunakan pada S20, S20+ dan S20 Ultra adalah lebih berkuasa berbanding Snapdragon 855+, Kirin 990 dan Exynos 9825. Namun begitu ia masih tidak sebaik A13 Bionic dan Snapdragon 865. Ini sekaligus membuatkan keputusan Samsung untuk hanya memasarkan peranti dengan Exynos 990 sahaja di Malaysia mengecewakan. Pesaing mereka seperti Realme, Sony dan Xiaomi akan memasarkan peranti dengan Snapdragon 865 dalam masa terdekat.



TIPS & ULASAN