Carian
Pandang Pertama Huawei Mate Xs – Huawei Kini Berlipat Kali Ganda Hebat
February 25, 2020 Fahim Zahar

Hari ini, Huawei telah melancarkan Huawei Mate Xs. Ia adalah peranti dengan skrin boleh lipat kedua dari Huawei, selepas Huawei Mate X. Jika anda lihat imej-imej peranti Mate Xs, tidak banyak beza pun dengan Mate X. Tetapi sebenarnya ada banyak perubahan serius, seperti engsel yang lebih baik dan tahan lasak dan juga spesifikasi dalaman yang jauh lebih berkuasa.

Kami di Amanz berpeluang mencuba Huawei Mate Xs ini seketika. Dalam ujian ringkas kami, kami dapati Mate Xs ini mempunyai skrin yang amat hebat, engsel yang terasa tahan lasak dan memberikan pengalaman penggunaan yang amat memuaskan untuk peranti yang skrinnya boleh dilipat.

Spesifikasi

Mate Xs menggunakan skrin OLED boleh lipat bersaiz 8-inci apabila dibuka, 6.6-inci di hadapan apabila dilipat keluar dan 6.38-inci di belakang. Bahan binaan skrinnya adalah daripada dua lapisan plastik optikal polymide. Menarik dengan skrin peranti ini adalah, ia terasa sangat tahan lasak dan tidak seperti Galaxy Fold yang terasa seperti pelindung skrin jenis lembut. Walau bagaimanapun, bahan plastiknya jelas terasa. Kami turut cuba mencucuk skrin tersebut dengan kuku, tiada langsung kesan calar dan skrin turut kekal berfungsi.

Kemudian, skrin peranti ini juga mempunyai kecerahan yang memuaskan. Walaupun berada di bawah lampu yang amat cerah, skrin masih boleh dilihat dengan baik. Paling penting, mesti anda ingin tahu, adakah kesan lipatannya boleh rasa? Duka citanya, ia jelas berada di situ. Apabila peranti sedang dilipat, tahap lembut skrin itu boleh rasa. Walaupun lembut, ia masih terasa seakan sejenis plastik yang amat berkualiti dan tebal.

Huawei Mate Xs dijana dengan cip Kirin 990 5G yang dibina dengan rekaan 7nm+ EUV dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 512GB. Semasa mencuba menggunakan peranti ini, ia terasa amat lancar dan pantas. Membuka, menutup dan menukar aplikasi adalah memuaskan dengan animasi yang lancar. Tiada langsung lengah masa terasa atau juga microlag.

Peranti ini menjalankan EMUI 10 khusus dibina semula untuk Mate Xs. Peranti lama mereka, Mate X tidak dapat fungsi-fungsi dan ciri-ciri EMUI 10 ini. Antara fungsi menarik adalah penggunaan multi-tugasan yang sangat baik dan memudahkan pengguna. Penggunaan multi-tugasan akan mempunyai dua tetingkap yang saiz boleh dilaras dengan tambahan aplikasi terapung. Apabila mengubah posisi peranti dari melintang ke menegak, ia akan menjadi mod multi-tugasan seperti peranti biasa. Fungsi  multi-tugasan ini diberi nama – Huawei App Multiplier.

Beralih ke bahagian kamera, Mate Xs dilihat masih menggunakan tetapan kuad-kamera yang sama. Lensa-lensa yang digunakan adalah 40MP SuperSensing Wide + 8MP Telefoto + 16MP sudut ultra lebar + ToF. Kamera ini juga mempunyai kemampuan zum 45 kali, zum lensa sudut ultra lebar 3 kali optikal dan juga 30x digital. Tiada kamera swafoto pada peranti ini. Tetapi untuk mengambilnya, peranti harus dilipat dan dipusingkan ke belakang untuk rakaman. Jadi, untuk swafoto skrin 6.38-inci akan menjadi paparan utama. Kami tidak sempat untuk mengambil sampel gambar. Tetapi ujian ringkas, kami dapat katakan hasil kameranya dilihat amat cantik dan memuaskan. Prestasi kamera juga adalah pantas dan lancar. Secara keseluruhan ia kelihatan hampir sama dengan Mate 30 Pro 5G.

Bateri peranti ini adalah 4500mAh, yang mana antara paling besar dalam semua peranti boleh lipat. Huawei turut menyertakan sokongan pengecasan pantas 55W – Huawei SuperCharge.

Rekaan

Seperti yang dikatakan tadi, rekaan Mate Xs dan Mate X kelihatan sama sahaja. Paling jelas ketara adalah pada bahagian engsel, yang mana Mate Xs mempunyai sedikit rekaan yang terkeluar seakan sejenis butang atau bahagian bawah sejenis stylus. Tetapi, “butang” tersebut adalah sebahagian dari engsel peranti. Apabila peranti dilipat, ia akan diklip dan untuk membuka lipatan – butang khas perlu ditekan. Membuka dan melipat peranti ini mempunyai satu pengalaman yang memuaskan dan amat berbeza dengan peranti Galaxy Fold.

Dalam keadaan tertutup, peranti ini memfokuskan kepada skrin “hadapan” 6.6-inci. Ia menjadi skrin utama kerana mempunyai skrin menyeluruh dan skrin 6.38-inci di belakang tidak diaktifkan. Skrin belakang ini pula dijadikan sebagai skrin “belakang” kerana terletak bersama-sama dengan kamera-kamera peranti. Di bahagian sisi, peranti ini akan mempunyai skrin melengkung. Pada awal terasa kurang selesa dan ia menjadi amat tebal. Mungkin akan mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan rekaan peranti seperti ini.

Apabila peranti dibuka dari lipatan, ia adalah sebuah tablet yang amat nipis. Bezel juga kelihatan nipis, memberikan pengalaman lebih imersif. Sisi kanan peranti adalah paling tebal, yang mana adalah bahagian kamera. Tetapi, ia juga akan memudahkan untuk memegang peranti dengan baik seakan memegang kamera DSLR yang mempunyai pemegang. Di bahagian bawah peranti, terdapat port UBS-C dan juga kekisi pembesar suara bersama-sama dengan mikrofon. Di bahagian atas hanya terdapat mikrofon sahaja.

Di sisi kanan, terdapat butang kuasa yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Tiada butang aras suara pada peranti ini, kerana ia menggunakan kawalan yang sama dengan Mate X dan juga Mate 30 Pro – iaitu kawalan atas skrin. Di bahagian belakang adalah di mana lokasi kamera berada. Ia disusun menegak di bahagian tepi.

Bahan binaan peranti ini terasa amat premium. Di belakang peranti apabila dibuka dari lipatan, ia mempunyai kemasan seakan aluminium. Di bahagian engsel kelihatan seakan kaca, tetapi terasa seperti plastik. “Butang” yang terkeluar di atas dan di bawah peranti bahagian tengah apabila ditekan-tekan terasa kukuh dan tebal.

Pengalaman Penggunaan

Tidak dinafikan, Huawei Mate Xs adalah sebuah peranti dengan skrin boleh lipat paling baik yang pernah kami cuba. Membuka peranti ini dari lipatannya adalah memuaskan. Ada bunyi aneh apabila dibuka, tetapi peranti ini terasa kukuh dan tahan lasak. Penggunaan butang untuk membuka peranti dari lipatan juga adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan.

Peranti ini sungguh selesa apabila berada di tangan. Ia terasa seperti ini adalah peranti degan skrin boleh lipat sebenar. Peralihan animasi EMUI 10 dari mod tablet ke telefon juga lancar dan pantas. Skrin yang sungguh cerah dan cantik, berada di luar jangkaan. Tidak pasti siapakah yang membekalkan skrin untuk peranti ini. Tetapi, skrinnya adalah lain daripada yang lain.

Penggunaan paling menarik adalah Huawei App Multiplier, yang sangat berguna. Tidak kira peranti dibuka atau dilipat, pelbagai aplikasi boleh digunakan serentak tidak kira posisi melintang atau menegak. Peranti ini menggunakan sistem aplikasi yang tersendiri, Huawei Mobile Services atau HMS. Terdapat banyak aplikasi di dalam ini sudah sedia digunakan untuk peranti dengan skrin boleh dilipat.

Oh ya, peranti ini adalah peranti yang memerlukan dua tangan untuk menggunakannya. Menggunakan satu tangan adalah amat sukar dan kurang selesa. Jadi seperti Galaxy Fold juga, Mate Xs adalah lebih kepada tablet yang boleh dilipat menjadi telefon dan bukannya telefon yang boleh dilipat seperti Galaxy Z Flip.

Konklusi

Huawei Mate Xs adalah sebuah peranti dengan skrin boleh lipat sebenar. Skrin yang tebal dan rasa tahan lasak, mempunyai mekanisme yang baik dan berkualiti tinggi dan juga rekaan yang tersendiri. Walaupun kesan lipatan jelas boleh dirasa, ia tidak begitu mengganggu pengalaman penggunaan seseorang. Bagi sesiapa yang membelinya akan rasa bersyukur kerana wujudnya peranti seperti ini.

Peranti ini dijangka akan dijual secara rasmi di Malaysia pada 20 Mac 2020 kelak. Harga jualan di Eropah adalah €2,499 (~RM 11,326). Menurut sumber kami, peranti ini mungkin akan dijual pada harga mencecah lebih RM10,000. Ia juga dikatakan akan dijual dalam unit yang terhad, kerana Mate Xs adalah peranti yang benar-benar peminat sahaja beli.

Komen