Pandang Pertama Huawei MatePad Pro – Tablet HMS Yang Paling Pro?

Pandang Pertama Huawei MatePad Pro – Tablet HMS Yang Paling Pro?

Diterbitkan pada Feb 26, 2020 oleh .

Huawei MediaPad adalah antara tablet hebat daripada Huawei. Ia memfokuskan untuk penggunaan media, seperti menonton video melalui pelbagai platform penstriman, mendengar muzik, mempunyai pembesar suara dengan pengoptimasian Harmon Kardon, sokongan stilus M-Pencil dan juga bateri yang besar. Tetapi tahun 2020 adalah dekad baharu, begitu juga dengan Huawei – tahun ini adalah tahun baharu untuk Huawei. Kesemua produk mereka yang menjalankan sistem operasi berasaskan Android, tidak lagi mempunyai Google Play Services atau GMS.

Tablet baharu tahun ini adalah dalam siri baharu, iaitu MatePad Pro. Bersama-sama dengan pelancaran Huawei Mate Xs secara global, Huawei turut melancarkan MatePad Pro dan MatePad Pro 5G. Ia adalah tablet mercu mereka dengan spesifikasi yang amat hebat, rekaan menarik dan juga mempunyai banyak fungsi dan ciri yang pasti menggembirakan pengguna. Kami di Amanz, berpeluang mencuba tablet ini dalam masa yang singkat.

Spesifikasi

Huawei MatePad Pro dan MatePad Pro 5G, kedua-duanya adalah sama sahaja. Membezakan dua tablet ini adalah sokongan rangkaian data mudah alih sahaja, seperti 5G atau 4G. MatePad Pro menggunakan skrin bersaiz 10.8-inci panel LCD dengan resolusi 2560 x 1600. Skrin tablet ini juga menyokong tetapan warna DCI-P3 wide colour gamut. Paparan tablet ini amat cantik, cukup terang dan mempunyai kualiti warna yang hidup. Warnanya naik, kelihatan realistik dan jitu. Saiz skrin yang besar ini akan memberikan pengalaman menonton video yang lebih imersif.

Huawei turut membandingkan MatePad Pro ini dengan iPad Pro. Rekaannya kelihatan hampir sama dengan penggunaan bezel sekeliling yang sekata. Akan tetapi, MatePad Pro mempunyai nisbah skrin-ke-badan yang lebih luas – iaitu 91%. Skrin sesentuh pada tablet ini juga cukup responsif. Bercakap mengenai skrin sesentuh, tablet ini turut menyokong penggunaan stilus M-Pencil.

Tablet ini pula dijana dengan cip pemproses Kirin 990 5G yang dibina dengan rekaan 7nm+ EUV dan dipadankan dengan pilihan memori 8GB RAM dan pilihan storan dalaman sehingga 512GB. Jika 512GB tidak mencukupi, ia boleh dikembangkan dengan kad memori NM 256GB. Cip pemproses Kirin 990 5G tidak dinafikan yang ianya memang berkuasa. Huawei Mate 30 Pro 5G yang kami cuba bulan lepas sudah pun membuktikannya.

Tatalan pada tablet ini lancar dan animasinya pantas. Ia menjalankan EMUI 10.1 berasaskan Android 10 dengan fungsi Huawei App Multiplier yang sama dengan Mate Xs. Jadi tablet ini turut mempunyai kemampuan multi-tugasan yang hebat. Ia boleh menjalankan tiga aplikasi serentak, dua tetingkap sebelah-menyebelah dan satu tetingkap terapung. Selain itu, ia turut menyokong fungsi drag & drop antara setiap tetingkap. Tidak kira teks yang disalin atau apa jua fail. Jadi, tablet baharu Huawei ini lebih sesuai digunakan untuk penggunaan media dan juga kerja-kerja.

Menambah kehebatan tablet baharu Huawei ini adalah pembesar suara. MatePad Pro mempunyai empat pembesar suara yang dioptimasikan oleh Harmon Kardon. Bersama-sama dengan pembesar suara ini adalah, empat mikrofon dengan sokongan pembatalan hingar untuk panggilan telefon atau menggunakan aplikasi perakam suara. Berdasarkan pengalaman kami, mana-mana tablet Huawei MediaPad sentiasa mempunyai kemampuan pembesar suara hebat

Bateri yang digunakan pada tablet ini adalah 7250mAh. Ia menyokong pengecasan pantas SuperCharge 40W berwayar, 27W pengecasan nirwayar dan 7.5W pengecasan nirwayar berbalik. Dengan sokongan ini, Huawei MatePad Pro/MatePad Pro 5G adalah tablet pertama dengan sokongan pengecasan nirwayar dan juga pengecasan nirwayar berbalik. Bateri yang besar ini dikatakan mampu bertahan selama 11 jam. Jika benar, ia akan mempunyai ketahanan bateri yang sama dengan kebanyakan komputer riba hibrid atau ultrabook.

Tablet MatePad Pro ini turut mempunyai kamera. Di hadapan, ia menggunakan lensa 8MP yang cukup baik untuk panggilan video atau gambar berkualiti tinggi. Kamera belakang pula adalah 13MP, juga cukup sesuai untuk panggilan video, mengambil gambar atau membuat rakaman video dengan kualiti yang boleh diterima.

Rekaan

Tablet ini direka sedikit mirip dengan iPad Pro. KIta mulakan dengan bahagian hadapan, yang mana Huawei menggunakan rekaan bezel sekata di sekeliling skrin. Menjadikan rekaannya unik berbanding iPad Pro adalah nisbah skrin-ke-badan 91% yang luas. Tetapi pengorbanan yang Huawei lakukan adalah tiada sistem sekuriti imbasan wajah seperti Face ID pada tablet Apple. Perkara lain yang menjadikan luas skrin ini lebih lebar adalah penggunaan rekaan skrin berlubang untuk kamera swafoto.

Beralih ke bahagian belakang, ia kelihatan begitu minimalist dengan logo Huawei di bahagian tengah bawah, lensa kamera dalam modul yang kecil dan panel belakang yang diperbuat daripada aluminium dan/atau kulit vegan. Di bahagian atas dan bawah tablet (posisi menegak) terdapat dua kekisi pembesar suara pada setiap satu, manakala salah satu sisi (posisi melintang) terdapat empat lubang mikrofon.

Secara keseluruhan, tablet ini kelihatan profesional dan sesuai digunakan untuk sesiapa dalam kerjaya rekaan, pejabat malah turut sesuai untuk pelajar.

M-Pencil

M-Pencil adalah jawapan Huawei kepada Apple Pencil. Rekaan M-Pencil jugha bersegi mirip stilus milik Apple. Selain itu, M-Pencil turut menyokong pengecasan nirwayar bermagnet yang boleh dilekat pada bahagian atas tablet (posisi melintang). Sebaik sahaja stilus ini dilekat, ia turut akan memaparkan notifikasi pop-naik aras bateri seakan iPad juga. M-Pencil mempunyai ketahanan bateri dan sokongan pengecasan pantas yang menarik. 10 saat pengecasan akan memberikan 10 minit penggunaan dan 1 jam pengecasan akan memberikan 10 jam penggunaan.

M-Pencil ini juga amat jitu apabila menulis dan melukis sesuatu. Aplikasi mengambil nota terbina dalam tablet, menyokong stilus ini seperti mana Google Keep menyokong dalam Pixelbook atau aplikasi Notes dalam iOS untuk iPad.

Pengalaman Penggunaan

Memegang tablet ini ditangan adalah cukup selesa. Ianya amat ringan dan mudah diuruskan. Binaannya juga rasa premium dan sangat akan mengingatkan pengguna terhadap iPad Pro. Prestasi tablet ini memang akan memuaskan sesiapa sahaja yang menggunakannya. Bukan sahaja prestasi membuka dan menutup aplikasi, segala pengalaman penggunaan juga akan menjadikan hati mana-mana pengguna selesa. Huawei App Multiplier yang disertakan dalam EMUI 10 pada tablet ini akan memudahkan lagi produkitviti pengguna.

Walaupun EMUI 10 secara keseluruhan dilihat kurang sesuai untuk penggunaan tablet dan lebih kepada rekaan untuk telefon pintar. EMUI 10 nampaknya masih perlu diasah lagi untuk kegunaan tablet yang lebih bagus. Antaramuka sistem operasi pada tablet ini tidak konsiste. Font pada tablet ini kadangkala baiuk-baik sahaja dan kadangkala terlampau besar.

Tablet ini juga menjadi lebih menarik untuk digunakan dengan sokongan pelbagai aksesori. Selain M-Pencil, kerangka pelindung dengan papan kekunci adalah aksesori yang baik. Alat pelindung ini juga akan mengingatkan pengguna kepada Smart Keyboard iPad.

Tidak dapat banyak pendapat yang boleh saya berikan, kerana masa penggunaan yang amat singkat. Mungkin akan datang, kami akan membuat ulasan penuh. Ini kerana tablet ini adalah tablet mercu Huawei yang menjalankan EMUI serba baharu dan juga HMS yang hadir dengan banyak aplikasi untuk kegunaan multi-tugasan pada tablet ini.

Konklusi

Sudah tentu, pengalaman menggunakan sistem operasi Android tanpa perkhidmatan Google adalah sesuatu yahng sukar dan mustahil untuk sesetangah pengguna. Lebih-lebih lagi untuk produktiviti, seperto ketiadaan Google Drive, GMail, Google Photos dan banyak lagi aplikasi Google yang berinteraksi antara satu sama lain.

HMS masih mudah lagi dan boleh dikira bayi dalam dunia gedung aplikasi. Tetapi untuk tablet ini, Huawei menggunakan HMS 4.0 yang mana kini mempunyai sistem sekuriti yang tersendiri seakan Google Play.

Harga jualan tablet ini adalah sedikit mahal. Tetapi pengalaman yang anda akan terima itu adalah berharga dan akan memuaskan. Ini kerana, tablet ini akan menjanjikan akan memberikan pengalaman penggunaan memuaskan.


TIPS & ULASAN