Cari @ Amanz

Pada tahun 2018, Nubia memasuki pasaran peranti untuk permua dengan melancarkan Red Magic. Tahun ini mereka akan melancarkan sebuah lagi peranti berkuasa dengan cip Snapdragon 865 dan skrin dengan kadar segar semula 144Hz. Rekaan Nubia Red Magic 5G ini telahpun tertiris selepas ia disenaraikan pada laman TENAA di China.

Peranti mempunyai kemasan warna cerun merah pada bahagian kiri dan biru pada bahagian kanan. Dua butang bahu fizikal diletakkan pada sisi kanan yang berguna untuk sesi permua. Turut dapat dilihat ialah dua lubang udara pada sisi kanan serta kini bagi tujuan penyejukan. Sistem penyejukan diperlukan bagi mengekalkan prestasi permua dan sistem pengecasan pantas 55W yang disokong.

Kamera masih diletakkan pada tulang belakang peranti tetapi lampu LED tidak dapat dilihat pada waktu ini. TENAA mengesahkan skrin sebesar  6.65-inci dan bateri sebesar 4,400mAh.

Ura-ura lain yang didengari mengenai Nubia Red Magic 5G ialah sokongan memori 16GB LPDDR5 dan kamera utama 64MP. Pada asalnya Nubia Red Magic 5G ini sepatutnya dilancarkan ketika acara MWC Barcelona sebelum ia dibatalkan akibat wabak Covid-19.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd