Perkhidmatan Seru-Pandu Dilaporkan Penyebab Peningkatan Pelepasan Karbon

Perkhidmatan Seru-Pandu Dilaporkan Penyebab Peningkatan Pelepasan Karbon

Diterbitkan pada Feb 26, 2020 oleh .

Salah satu daripada kelebihan yang diwar-warkan mengenai perkhidmatan seru-pandu seperti Uber, Grab dan Gojek ialah ia akan membantu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan merendahkan kadar pencemaran udara dan juga pelepasan karbon.

Kajian daripada sekumpulan saintis yang menamakan diri mereka Union of Concerned Scientists mengatakan bahawa sejak perkhidmatan seru-pandu digunakan secara meluas, peratusan pelepasan karbon yang disebabkan kenderaan-kenderaan ini telah membatalkan kebaikan yang sering disebut-sebut oleh syarikat-syarikat tersebut.

Kumpulan tersebut telah menjalankan ujian di tujuh bandar di Amerika Syarikat dan mendapati bahawa rakyat di bandar-bandar tersebut kebanyakannya menggunakan perkhidmatan seru-pandu seperti Uber dan Lyft untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain, dan tidak menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan keretapi.

Menurut mereka, pelepasan karbon yang dijana oleh kenderaan-kenderaan ini 50 peratus lebih teruk daripada kenderaan persendirian, kebarangkalian besar kerana kenderaan-kenderaan ini berada di jalan raya untuk jangka-masa yang lebih lama berbanding dengan kenderaan persendirian biasa.

Kumpulan Union of Concerned Scientists ini telah meminta syarikat-syarikat seperti Uber dan Lyft untuk mempromosikan dan menggantikan kenderaan-kenderaan petrol sedia ada dengan kenderaan elektrik untuk benar-benar mengurangkan kadar pelepasan karbon ke lapisan ozon.

Setakat ini, Uber telah menyatakan hasrat untuk menjadikan perkhidmatan mereka lebih mesra alam, manakala Lyft pula mengatakan mereka mempunyai perkhidmatan pengangkutan beramai-ramai dan juga pengangkutan elektrik seperti basikal dan skuter elektrik yang juga boleh digunakan.


TIPS & ULASAN