LG V60 ThinQ Dilancarkan – Snapdragon 865, Bicu Audio, Dwi-Skrin Dan Audio Bokeh
LG

LG V60 ThinQ Dilancarkan – Snapdragon 865, Bicu Audio, Dwi-Skrin Dan Audio Bokeh

Diterbitkan pada Feb 27, 2020 oleh .

LG V60 ThinQ telah dilancarkan secara rasmi pagi ini dan seperti majoriti peranti mercu tahun ini ia menggunakan cip Snapdragon 865 lengkap dengan sokongan 5G menerusi moden X55 keluaran Qualcomm. Tahun ini V60 ThinQ hadir dengan skrin 6.8″ OLED FHD+ HDR10+ yang bertakuk pada bahagian atas.

Spesifikasi lain ialah memori sebesar 8GB RAM, storan 128GB, kamera utama 64+13+3D TOF MP, kamera swafoto 10 MP dan bateri sebesar 5000 mAh. Sistem kamera yang disokong ialah sudut lebar dan ultra sudut lebar. LG tidak mengikuti trend menyertakan zum optikal serta bonjol kamera berbentuk empat segi.

Peranti walau bagaimanapun boleh melakukan rakaman video sehingga resolusi 8K. Satu fungsi menarik yang disertakan LG ialah Audio Bokeh yang boleh mengasingkan hingar audio luaran dari suara subjek yang sedang dirakam.

Bagi yang merasakan storan peranti adalah agak kecil, V6o ThinQ menyokong kad mikro SD sehingga 2TB. Sementara itu bateri yang bersaiz besar menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4.0+. LG menyertakan bicu audio lengkap dengan Quad DAC serta pembesar suara stereo. Di dalam dunia di mana bicu audio semakin pupus, keberanian LG ini harus dipuji.

LG V60 ThinQ juga menyokong aksesori skrin sekunder 6.8″ OLED FHD+ yang mengubahnya menjadi sebuah peranti dwi-skrin. Penambahbaikan yang diberikan ialah terdapat sebuah skrin kecil 2.1″ pada panel luar untuk memaparkan notifikasi yang diterima.

Akhir sekali peranti menggunakan sistem operasi Android 10 dengan pelancar LG UX 9.0, mempunyai kemampuan kalis air IP68 dan butang fizikal khas untuk menyeru Google Assistant. Tiada maklumat mengenai harga pada waktu ini tetapi jualan akan bermula Mac 2020.


TIPS & ULASAN