Samsung Akan Menjual Cip Sekuriti Yang Digunakan Pada Galaxy S20 Kepada Pengeluar Lain

Samsung Akan Menjual Cip Sekuriti Yang Digunakan Pada Galaxy S20 Kepada Pengeluar Lain

Diterbitkan pada Feb 27, 2020 oleh .

Samsung Galaxy S20 adalah siri baharu peranti mercu Samsung tahun ini. Terdapat tiga peranti dalam siri ini iaitu, S20, S20 Plus dan S20 Ultra. Ketiga-tiga peranti Samsung ini juga adalah yang pertama mempunyai cip sekuriti tersendiri terbina di dalam peranti dan tidak lagi bergantung kepada perisian, seperti Knox. Cip ini digelar sebagai S3K250AF. Ia adalah cip Common Criteria Evaluation Assurance Level 5+ (CC EAL 5+) yang mempunyai Secure Element terbina. Dengan kata lain, ia adalah seakan Secure Enclave yang terbina dalam cip A13 Bionic – tetapi versi Samsung adalah cip berasingan. Samsung kini akan menjual cip ini kepada pengeluar lain, agar ia tidak akan terhad kepada peranti Samsung sahaja.

Fungsi cip ini adalah untuk menyimpan data-data sulit seperti maklumat imbasan cap jari, butiran wajah untuk nyahkunci berasaskan wajah, atau juga data-data lain yang sensitif seperti kata laluan, butiran pembayaran dan banyak lagi. Menurut Samsung, cip ini menggunakan kedua-dua perkakasan dan juga perisian untuk memastikan data-data sulit ini tidak disimpan dalam memori storan dalaman biasa dan akan disimpan dalam cip sekuriti ini. Akhirnya, Samsung bersaing dalam sekuriti peranti mengikuti jejak langkah Pixel dengan cip Titan M atau juga cip sekuriti Qualcomm Secure Processing Unit yang terbina dalam Snapdragon 865.



TIPS & ULASAN