Vivo Z6 5G adalah sebuah lagi telefon pintar dijana dengan cip Snapdragon 765G. Ia adalah peranti keempat selepas Redmi K30 5G, Oppo Reno3 5G dan Realme X50 5G. Vivo Z6 5G baru sahaja diperkenalkan secara rasmi di laman web rasmi Vivo di China. Peranti ini dilihat akan bersaing dengan Redmi, Oppo dan Realme.
Vivo menggunakan skrin TFT LCD 6.57-inci FHD+ dengan nisbah skrin-ke-badan 90.47%. Untuk memori ia menggunakan RAM 6/8 GB dengan storan dalaman 128GB berasaskan UFS 2.1. Bateri pula adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 44W Ultra-Flash. Untuk kamera, peranti ini menggunakan gabungan lensa 48MP f/1.8 (utama) + 8MP f/2.2 (sudut ultra lebar) + 2MP makro + 2MP lensa kedalaman di belakang. Kemudian lensa untuk kamera swafoto adalah 16MP f/2.5 dengan rekaan skrin berlubang. Untuk sekuriti pula, ia menggunakan pengimbas cap jari fizikal di panel belakang peranti. Sistem operasi peranti adalah Funtouch OS 10 berasaskan Android 10.
Seperti peranti pesaing, Vivo Z6 5G turut akan menyokong 5G NSA dan SA. Kemudian, Vivo turut mendakwa yang peranti ini menggunakan sistem penyejukan cecair setaraf dengan komputer. Vivo turut memperkenalkan Multi-Turbo 3.0 untuk pengoptimasian prestasi, Game Space 3.0 untuk bermain permua, dan kemampuan bersambung kepada rangkaian WiFi 2.4GHz dan 5GHz serentak dan kamera mempunyai pelbagai mod swafoto untuk pelbagai gaya mengikut citarasa pengguna.
Harga jualan Vivo Z6 5G di China adalah 2298 Yuan 6/128 GB, iaitu sekitar RM1387 dan 2598 Yuan untuk 8/128 GB, iaitu sekitar RM1568. Warna yang ditawarkan pula adalah Star Silver dan Glacier Age.