Cari @ Amanz

Samsung ialah sebuah syarikat teknologi yang terkenal untuk peranti-peranti pintarnya, tetapi mereka juga membina pelbagai jenis barangan elektronik yang biasanya tidak dipasarkan dengan begitu meluas.

Terkini, Samsung dilihat memperkenalkan siri paparan skrin Samsung T55 yang memfokuskan kepada produktiviti di pejabat. Siri paparan ini hadir dengan tiga saiz yang berbeza, termasuklah 24 inci, 27 inci dan juga 32 inci.

Siri paparan T55 ini menggunakan panel VA dan mempunyai resolusi Full HD (1920×1080), masa tindak-balas GtG sependek 4ms dan juga kadar segar semula 75Hz. Dalam pada itu, paparan-paparan ini juga menyokong teknologi AMD FreeSync yang memastikan pengguna tidak mengalami isu screen-tearing apabila menggunakan paparan ini.

Ciri unik yang hadir pada siri paparan Samsung T55 ini ialah kesemua model-modelnya mempunyai skrin melengkung 1000R yang mengurangkan sakit mata apabila memandang skrin untuk terlalu lama.

Pengguna diberi pilihan untuk menyambungkan komputer mereka ke paparan ini melalui palam seperti HDMI 1.4, DisplayPort 1.2 ataupun VGA. Sayang sekali, paparan ini tidak mempunyai sokongan untuk sandaran dinding VESA, jadi ia hanya boleh berdiri menggunakan tapak yang disediakan.

Buat masa ini, Samsung masih belum mengumumkan bilakah ia akan dilancarkan, dan juga tanda harganya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd