Cari @ Amanz

Kepingan Kevlar digunakan oleh tentera sebagai bahan kalis peluru pada jaket, kereta perisai dan helikopter tempur. Bahan ini bukan sahaja mampu menghalang peluru dari menembusi tubuh tetapi turut lebih ringan berbanding plat besi yang digunakan di awal kurun ke-20. Sempena tayangan filem James Bond No Time To Die, kerangka Kevlar edisi khas dihasilkan oleh Nokia.

Ia ditawarkan kepada dua model iaitu Nokia 6.2 dan Nokia 7.2 dalam warna hitam. Dari imej di atas kerangka ini terdiri daripada dua komponen utama. Bingkai tahan lasak yang menyerap hentakan dan plat Kevlar pada bahagian belakang yang mengelakkan panel kaca peranti dari tercalar.

Kerangka ini dijual pada harga 25 Euro (~RM116) dan setakat ini hanya ditawarkan untuk pasaran Eropah dan Australia. Kerangka rasmi James Bond ini hanya ditawarkan untuk peranti Nokia kerana akan digunakan oleh watak utama. Sebelum ini perisik nombor satu Britain ini menggunakan peranti keluaran Sony Ericsson.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd