Sejak penghujung bulan Januari yang lalu, terdapat banyak acara teknologi yang terpaksa ditunda ataupun dibatalkan akibat wabak koronavirus COVID-19 yang sedang menular diseluruh dunia.
Acara GPU Technology Conference, ataupun GTC anjuran syarikat pembekal cip pemprosesan grafik NVIDIA pada tahun ini dilaporkan akan berjalan seperti yang dirancangkan pada 22-26 Mac ini, tetapi menurut kenyataan yang baru dikeluarkan oleh pihak NVIDIA, ia akan ditukar kepada sebuah acara atas-talian, dan bukan acara besar-besaran seperti sebelum ini.
Acara GTC biasanya akan dihadiri oleh ramai pembangun-pembangun teknologi grafik, tidak kira untuk permainan video, filem dan lain-lain untuk mendapat maklumat mengenai teknologi grafik terkini.
NVIDIA juga biasanya akan mengumumkan komponen-komponen grafik terbaru, seperti siri kad grafik terkini untuk komputer desktop, komputer riba dan juga mesin pelayan. Malah, ia dilaporkan bahawa CEO NVIDIA, Jensen Huang akan memperkenalkan beberapa cip pemprosesan grafik baru, khususnya untuk komputer riba gaming.
Apa-apa pun, acara tersebut masih akan berlangsung, dan beberapa pengumuman besar dijangka akan diumumkan di acara tersebut kelak.