Sistem operasi Xiaomi yang tersendiri adalah MIUI. Ia dibina berasaskan Android dan disertakan dengan pelbagai ciri dan fungsi yang menarik. Antara yang luar biasa adalah, penuras dengan kemampuan mengubah langit. Penuras ini boleh mengubah warna, tona, menambah awan dan sebagainya. Ia menggunakan kecerdasan buatan dan juga pasca-proses. Penuras ini hadir secara terbina dalam fungsi suntingan dalam aplikasi galeri MIUI. Terkini, penuras yang lebih kurang sama turut boleh digunakan pada video pula.
XDA melaporkan yang kelak dalam MIUI 11, pengguna boleh menambah penuras cuaca dalam video. Antara sampel yang diperlihatkan adalah menambah hujan dan salji dalam satu fail video. Ia dikatakan mungkin diberi nama sebagai “Dynamic Sky”. Ciri ini jika digunakan dilihat agak realistik dan dikatakan adalah eksklusif untuk Xiaomi Mi 10 dan Redmi K30 Pro terlebih dahulu. Apa-apa pun, kita hanya akan tahu kelak. Sama-sama kita nantikan.