Black Shark merupakan salah satu pengeluar peranti yang hadir dengan penawaran memfokuskan permua. Hari ini, mereka telah pun melancarkan telefon pintar terbaru mereka dibawah siri Black Shark 3.
Dua telefon pintar diperkenalkan, iaitu Black Shark 3 dan juga Black Shark 3 Pro. Kedua-duanya menawarkan ciri lebih kurang sama, tetapi dengan penawaran Black Shark 3 Pro yang membawa ciri-ciri tambahan.
Black Shark 3 hadir dengan skrin 6.67-inci OLED dengan kadar segar semula 90hz (touch sampling mencapai 270Hz), dijana cip Snapdragon 865, serta penyejukkan berasaskan cecair. Melengkapkan peranti ini juga adalah bateri 4720mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W menggunakan port berasaskan magnetik pada bahagian belakang peranti.
Black Shark 3 Pro pula hadir dengan skrin 7.1-inci QHD+ OLED dengan sokongan kadar segar semula 90Hz, dijana cip Snapdragon 865, memori sehingga 12GB RAM dan storan sehingga 256GB. Kedua-dua model menggunakan memori LPDDR5 dan juga storan UFS 3.0. Melengkapkan peranti ini juga adalah bateri berkapasiti 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W.
Untuk rakaman gambar, kedua-duanya menyertakan tri-kamera belakang gabungan 64MP + 13MP (ultra-lebar) + 5MP (depth). Untuk rakaman swafoto, ia menyertakan kamera 20-megapixel dihadapan.
Dari segi rekaan, tiada sebarang takuk atau lubang pada skrin – sekaligus menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada para peminat permua. Pada masa yang sama, pihak Black Shark turut menyertakan butang taktil fizikal yang terbina pada peranti – sekaligus menawarkan maklumbalas yang lebih baik ketika anda memainkan beberapa permua.
Buat masa ini, peranti ini hanya diumumkan di China, pada harga bermula RMB3499, iaitu sekitar RM2114.