Cari @ Amanz

Terdapat ramalan dalam masa hanya satu generasi sahaja lagi kereta di jalan raya tidak akan lagi dilengkapi stereng kerana kemampuan swapandu sudah mampu menggantikan manusia. Hyundai telah memperlihatkan kereta elektrik konsep yang menggantikan stereng bulat dengan dwi kayu kawalan.

Hyundai Prophecy EV yang diperlihatkan semalam meramalkan masih terdapat keperluan untuk manusia memandu kenderaan. Dengan dwi kayu kawalan ini, penumpang boleh mengambil alih sistem pemanduan yang mengingatkan kami kepada sistem kawalan robot Virtual ON serta Voltron.

Dengan rekaan ini bahagian dalaman dan dashboard kelihatan lebih kemas. Satu lagi kelebihan rekaan ini ialah kecederaan pada bahagian dada pemandu dapat dikurangkan sekiranya Prophecy EV terlibat dalam kemalangan.

Sebuah skrin LCD gergasi mendominasi bahagian hadapan kokpit dengan ribuan lampu LED pada bahagian pintu akan menerangkan ruang penumpang mengikut mood.

Rekaan menarik lain yang diketengahkan oleh Hyundai ialah penggunaan ribuan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang. Lampu LED adalah lebih terang dan setiap satunya boleh dikawal dengan bebas.

Menurut Hyundai lampu pada Prophecy EV  boleh memaparkan pelbagai animasi dan warna sekiranya perlu. Ini mengingatkan kami kepada konsep Digital Light – lampu kenderaan Mercedes yang boleh memaparkan amaran pada permukaan jalan.

Pada waktu ini tiada maklumat mengenai kuasa motor, jarak operasi, kelajuan maksimum dan kapasiti bateri untuk Prophecy EV memandangkan ia sekadar konsep. Tetapi Hyundai mempunyai perancangan menjual 44 kenderaan elektrik menjelang 2025.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd